INI soal arah tuju negara. Negara kita, negara untuk anak cucu kita di masa hadapan.
Dalam tempoh singkat, Kerajaan MADANI berjaya memperlihatkan kualiti pentadbiran yang mampan dan berdaya saing, melalui penstrukturan semula polisi yang memberi kesan terus kepada kehidupan rakyat.
Bagi yang mengikuti perkembangan global, kita sedia memaklumi bahawa ketika ini, dunia masih bergelut dengan perang ekonomi, inflasi global, konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.
Namun, syukur kita panjatkan kepada Tuhan, Malaysia bukan sahaja berjaya bertahan, malah kembali dipandang serius oleh pelabur antarabangsa.
Agenda-agenda MADANI tidak boleh dihentikan separuh jalan, ianya mesti di teruskan dan dipertahankan. Berikut ialah antara sebabnya:
- DUIT POKET RAKYAT DIPENUHI, BUKAN SEKADAR RETORIK JANJI
Rakyat marhaen tidak bercakap tentang angka makroekonomi apabila bangun daripada tidur, mereka tidak bercakap dasar-dasar Trump atau seni geoekonomi China. Mereka bercakap tentang susu anak, tentang harga ayam, tentang cukup atau tidak duit perbelanjaan mereka sebelum pembayaran gaji. Nampak remeh, tapi sangat kritikal bagi rakyat marhaen seperti kita.
Sebab itu pendekatan kerajaan hari ini lebih bersifat terus kepada rakyat. Melalui STR & SARA, jutaan rakyat tanpa mengira fahaman politik menerima bantuan tunai serta bantuan barangan keperluan asas secara terus. Nilai bantuan kepada isi rumah miskin tegar juga antara yang tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan ini.
Begitu juga dengan inisiatif-inisiatif seperti Program Payung Rahmah, ianya menjadi apparatus penyerap tekanan kenaikan harga kepada tekanan kos sara hidup ketika harga global tidak menentu.
Malah, melalui pindaan Akta Insolvensi, hampir 130,000 (angka ini semakin meningkat) individu berjaya dilepaskan daripada status muflis. Membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk membina semula kehidupan mereka tanpa dihantui kegagalan lalu.
- PENJAWAT AWAM DIIKTIRAF SEBAGAI TULANG BELAKANG NEGARA
Lebih 12 tahun lamanya penjawat awam memikul tanggungjawab besar menjadi tulang belakang negara tanpa semakan gaji yang signifikan. Mereka bekerja dan terus bekerja walaupun keadaan pendapatan mereka susut nilainya kerana peningkatan kos hidup dan kadar inflasi.
Melalui SSPA, kebuntuan itu dinoktahkan. Seramai kira-kira 1.6 juta penjawat awam menikmati faedahnya dan seluruh sistem ekonomi negara mendapat limpahannya.
Kesannya jelas, kadar keberkesanan penyampaian awam dan infrastruktur awam meningkat dengan ketara. Bila orang rasa dihargai, mereka tahu balas budi, mereka meningkatkan kualiti kerja dan integriti mereka.
Bahkan, langkah ini memberi tekanan moral dan ekonomi kepada sektor swasta untuk turut meningkatkan kadar upah pekerja tempatan.

- RINGGIT MENGUAT DAN PELABURAN SEMAKIN RANCAK
Pasca PRU14, akibat skandal-skandal kewangan bersaiz gergasi, Malaysia dilihat sebagai negara yang tidak stabil dari sudut politik dan hala tuju ekonomi. Pelabur luar menjadi berhati-hati. Siapa yang ingin melabur di negara yang perdana menterinya bertukar 3 kali dalam tempoh 5 tahun?
Alhamdulillah, Malaysia hari ini lebih baik. Negara ini kembali menjadi destinasi rebutan pelabur global. Syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services dan NVIDIA mengumumkan komitmen pelaburan berbilion ringgit ke Malaysia, khususnya dalam sektor pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Siapa yang untung? Kitalah, rakyat negara ini.
Pelaburan ini meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengembangan ekosistem teknologi, kenaikkan permintaan terhadap tenaga kerja profesional dan nilai ringgit mengukuh.
Bagi yang sering travel ke negara-negara jiran, rakyat negara-negara jiran cemburu terhadap apa yang kita nikmati.
Hanya propaganda? TIDAK. Ini penilaian institusi kewangan dunia sendiri terhadap trajektori pemulihan ekonomi Malaysia.
- MA63
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah berkait soal hak, soal autonomi, soal penghormatan kepada semangat pembentukan Malaysia.
Selama puluhan tahun, isu ini pegun tanpa gerak kerja yang jelas. Alhamdulillah, lebih kurang 3 tahun pentadbiran MADANI, 9 tuntutan utama MA63 berjaya diselesaikan dan isu-isu berbaki masih terus cuba untuk dipenuhi dan dijadikan realiti.
Sabah dan Sarawak ialah masa depan kekuatan ekonomi Malaysia, tidak akan dianaktirikan sama sekali.
- MUTU TATA KELOLA TINGGI & BERINTEGRITI
Ramai yang boleh bercakap tentang integriti,
tetapi berapa ramai pemimpin yang benar-benar sanggup melawan budaya ketirisan?
Pentadbiran hari ini mengambil pendekatan tegas tanpa kompromi terhadap isu salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan dana awam.
Apabila ketirisan diminimumkan, wang negara boleh dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan sebenar. Sekolah-sekolah daif dibaiki, klinik komuniti dinaik taraf dan infrastruktur asas dipulihkan.
Semua ini untuk siapa? Siapa yang dapat manfaatnya? Kita semua, rakyat yang dapat manfaatnya.
Dalam masa sama, kerajaan memperuntukkan sekitar RM4 bilion kontrak kecil kepada kontraktor tempatan G1 hingga G4 bagi memastikan ekonomi akar umbi terus bergerak agar ekonomi benar-benar beredar dalam tangan rakyat tempatan.
Secara mudah, dalam tempoh yang relatif singkat, Kerajaan MADANI telah menunjukkan momentum pentadbiran berkualiti dan pelan pemulihan negara yang efektif. Ini baru sahaja bermula, jangan biarkan ianya terhenti di tengah jalan.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)




