
TAIPING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun 9 bulan maut dengan kesan kecederaan mencurigakan, dipercayai menjadi mangsa penderaan dalam kejadian di Taman Sungai Mas, Taiping, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan Hospital Taiping selepas mangsa dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12.43 tengah hari.
Menurutnya, pasukan perubatan telah menjalankan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa. Bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan di bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Susulan itu, beliau berkata polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun, yang juga ahli keluarga mangsa termasuk bapa tiri, telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Tiga lagi suspek ialah ibu serta datuk dan nenek mangsa. Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi melengkapkan siasatan.
“Kes ini berjaya diselesaikan dengan penahanan semua suspek terbabit,” katanya.





