
SANDAKAN – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, suasana di ‘Lot Ketupat Raya’ di sini kembali meriah dengan deretan peniaga tempatan yang setia meneruskan tradisi turun temurun, sekali gus menghidupkan warisan budaya yang kian menjadi simbol persiapan perayaan.
Tradisi menjual kelengkapan Aidilfitri itu bukan sekadar aktiviti bermusim, malah menjadi nadi kepada kesinambungan warisan keluarga yang telah dipertahankan sejak puluhan tahun lalu.
Amalan warisan keluarga
Bagi peniaga, Fatimah Harka, 38, pengalaman berniaga bermula seawal usia 8 tahun apabila dia mengikut ibunya mencari rezeki di kawasan berkenaan.

“Sejak umur 8 tahun lagi saya sudah ikut menjual.
“Sekarang umur sudah 38 tahun, maknanya hampir 30 tahun saya berniaga.
“Kami jual pelbagai barangan keperluan perayaan seperti daun ketupat, daun pisang, serai, kelapa dan bawang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, perniagaan tersebut bukan sekadar sumber pendapatan, malah merupakan warisan keluarga yang perlu dipelihara dan diteruskan oleh generasi seterusnya.
“Sekarang anak-anak saya pun sudah mula ikut. Ini warisan nenek moyang, jadi memang tidak boleh ditinggalkan.
“Setiap tahun kami akan teruskan,” ujarnya.
Fatimah berkata, sambutan orang ramai sentiasa menggalakkan terutama menjelang Aidilfitri, malah lokasi itu telah lama menjadi tumpuan penduduk setempat.
“Kalau ikut pengalaman saya, sejak tahun 1990 lagi sambutan memang baik.
“Ramai datang membeli, terutama menjelang hari raya,” katanya.
Mengulas mengenai pematuhan peraturan, Fatimah berkata, peniaga kini perlu mengikuti garis panduan ditetapkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), termasuk memiliki permit dan menjaga kebersihan.
“Sejak 2018, kami dikenakan bayaran sewa lot RM15 untuk tempoh tiga hari. Kami ada permit dan perlu jaga kebersihan,” katanya.
Difahamkan, sebanyak 149 lot disediakan bagi peniaga di kawasan tersebut setiap kali musim perayaan.
Jual sarung ketupat siap
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muriana Jolhaini, 28, berkata, dia juga mewarisi perniagaan tersebut daripada keluarganya.

“Dari kecil lagi sudah menjual. Sekarang saya jual ketupat siap anyam dan daun ketupat.
“Setiap tahun memang ramai yang datang membeli,” katanya.
Menurutnya, kemuncak jualan biasanya berlaku pada malam takbir apabila orang ramai membuat persiapan akhir menjelang Aidilfitri.
“Yang tidak sempat pun akan datang malam takbir. Memang paling ramai masa itu,” katanya.
Bagi Naidah Ismail, 24, suasana mula sibuk kira-kira tiga hari sebelum Aidilfitri apabila semua peniaga mula membuka lot masing-masing.

“Kalau sudah dekat raya, memang tidak cukup tangan melayan pelanggan.
“Yang saya tahu daripada ayah, kalau mahu ikut berniaga, mesti pandai buat anyaman ketupat.
“Ini memang tradisi keluarga, semua adik-beradik kena pandai anyam ketupat,” katanya.
Naidah turut memaklumkan bahawa urusan mendapatkan tapak jualan diuruskan oleh MPS dengan kadar bayaran minimum.
“Seminggu sebelum raya, kami hantar salinan kad pengenalan dan pihak MPS akan hubungi untuk ambil tapak.
“Bayaran sewaan adalah RM15 untuk tiga hari,” katanya.
Beli barang persiapan raya
Dalam pada itu, pembeli, Fatimah Zubair, 68, berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang mengunjungi lokasi tersebut setiap tahun bagi mendapatkan keperluan Aidilfitri.

“Di kampung saya tiada orang jual anyaman ketupat, jadi memang datang sini setiap tahun.
“Bagus ada peniaga di sini, senang kami,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Pinah, 55, turut mengakui kemudahan mendapatkan pelbagai barangan di satu lokasi menjadi tarikan utama.
“Senang beli di sini sebab semua ada. Kalau tiada di sini, kami pun tidak tahu mahu cari di mana,” katanya.







