
PERSIAPAN menyambut hari raya tahun ini bagi Azimah Marsid berjalan seperti biasa, namun suasana pada hari raya pertama dijangka sedikit berbeza kerana tidak semua ahli keluarga dapat berkumpul pada hari tersebut.

Azimah Marsid, 39, Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu berkata daripada enam adik-beradik, tiga daripadanya akan menyambut hari raya di rumah keluarga pasangan masing-masing, manakala suaminya yang bertugas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching turut bekerja pada hari raya pertama dan kedua.
“Persiapan raya tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya, cuma agak sedikit sunyi pada hari raya pertama kerana tiga daripada kami enam beradik akan beraya di rumah keluarga pasangan masing-masing. Selain itu, suami saya yang bertugas di PUSPEN Kuching juga bekerja pada hari raya pertama dan kedua.
“Jadi tahun ini saya dan anak akan beraya bersama mak ayah di Betong, iaitu kampung kelahiran bapa saya di Kampung Balingan, Betong. Kami akan pulang ke Kuching pada hari raya ketiga dan keluarga akan berkumpul semula untuk bersalaman pada hari raya keempat,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan sambutan Hari Raya dapat disambut dengan gembira dan serba lengkap, beliau telah membuat simpanan kewangan.
Selain itu, Azimah berkata beliau turut menyenaraikan menu juadah bagi memudahkan urusan membeli bahan memasak lebih awal.
“Sekurang-kurangnya saya boleh membeli kelengkapan untuk memasak lebih awal kerana jika tidak dibeli awal, kadangkala akan berlaku masalah bahan tidak mencukupi,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa pengurusan bajet turut dilakukan dengan membeli pakaian raya secara berperingkat setiap bulan selain membuat simpanan awal supaya tidak merasa terlalu terbeban apabila hampir musim perayaan.
“Semoga Syawal yang bakal menjelma memberikan kita seribu kemanisan dan kenangan,” katanya.
Perancangan persiapan raya awal

Sementara itu, Sajali bin Mohamad, Pengerusi Kelab Digital Warga Emas DiWarMas, Kuching berkata bahawa perancangan awal sangat penting bagi mengurangkan tekanan persiapan Hari Raya.
“Dengan membuat senarai keperluan dan menetapkan bajet, sambutan Aidilfitri dapat diraikan dengan lebih teratur,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Beliau menekankan bahawa cabaran utama menjelang Hari Raya termasuk kekangan masa akibat komitmen kerja, kos perbelanjaan yang meningkat serta kesesakan pasar raya.
“Antara langkah yang dicadangkan termasuk menyediakan senarai keperluan, membeli barangan lebih awal, membeli barangan tahan lama secara pukal serta mengutamakan keperluan berbanding kehendak,” tambahnya.
“Pengurusan bajet dan perancangan awal bukan sahaja memudahkan persiapan, malah memastikan sambutan hari raya diraikan meriah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan keluarga,” tegasnya.





