Tradisi pasang pelita 1 kilometer ceriakan Kampung Patiambun

LIMBANG – Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Patiambun kembali meriah dengan deretan lampu pelita menghiasi jalan utama sejauh satu kilometer.

Ia mengekalkan tradisi turun-temurun yang telah diamalkan oleh penduduk setiap kali tibanya Syawal.

Ketua Kampung Patiambun, Najib Osman berkata, amalan memasang pelita itu merupakan satu kemestian yang tidak pernah ditinggalkan.

Menurutnya, tradisi berkenaan bukan sahaja menceriakan suasana kampung, malah menjadi simbol kebersamaan dan lambang muafakat antara penduduk.

Pelita minyak tanah pernah menjadi pilihan dan ia dinyalakan dari bulan Ramadan sehinggalah hari raya.

“Dahulu, setiap petang menjelang waktu berbuka atau selepas solat tarawih, ada penduduk yang akan menyalakan pelita ini satu persatu.

“Ia sememangnya memerlukan usaha dan kesabaran kerana pelita perlu sentiasa diisi minyak serta dijaga agar apinya tidak padam,” katanya.

Semangat dan tradisi kekal terpelihara

Jelas beliau, peredaran zaman dan kemudahan teknologi bagaimanapun telah membawa perubahan apabila pelita minyak tanah kini digantikan dengan lampu pelita elektrik yang didapati lebih praktikal serta selamat digunakan.

Biarpun terdapat perubahan, Najib menegaskan semangat dan matlamat asal tradisi masih kekal terpelihara.

“Walaupun sekarang kita menggunakan lampu elektrik, konsepnya masih sama iaitu untuk menceriakan suasana kampung serta mengekalkan tradisi menyambut Aidilfitri secara bersama-sama.

“Kerja pemasangan juga dilakukan secara bergotong-royong. Saban tahun, penduduk bekerjasama memotong buluh dari kawasan sekitar untuk dijadikan tiang yang kukuh, memasang wayar dan memastikan semuanya digantung dengan selamat,” ujarnya

Najib menyifatkan aktiviti tersebut medan terbaik untuk mengeratkan silaturahim sesama jiran tetangga.

“Tradisi ini bukan sekadar untuk mencantikkan kampung, tetapi ia menghidupkan semangat perpaduan. Melalui aktiviti ini, penduduk dapat berkumpul, berbincang dan saling membantu.

“Saya sangat berharap generasi muda akan menyambung warisan ini agar tidak hilang ditelan arus pemodenan,” jelasnya.

  • Related Posts

    Polis Sabah terima 13 laporan susulan ucapan berkait paderi, biarawati

    KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menerima 13 laporan polis setakat tengah hari Khamis susulan ucapan yang didakwa menyentuh agama Kristian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Gempa bumi lemah 3.7 magnitud dikesan 88km utara Sandakan

    SANDAKAN – Gempa bumi lemah bermagnitud 3.7 dikesan berlaku pada jarak kira-kira 88 kilometer (km) utara dari Sandakan, Sabah pada jam 10.30 malam Khamis. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Kertas siasatan Noorazli isu paderi dibawa kepada Peguam Negara Sabtu ini

    Kertas siasatan Noorazli isu paderi dibawa kepada Peguam Negara Sabtu ini

    Anwar bukan mahu raih politik, rakyat perlu tahu ‘pucuk pangkal’ isu Rohingya

    Anwar bukan mahu raih politik, rakyat perlu tahu ‘pucuk pangkal’ isu Rohingya

    Pengguna tidak lagi gunakan BNPL membeli barangan bernilai tinggi

    Pengguna tidak lagi gunakan BNPL membeli barangan bernilai tinggi

    Tahanan rumah Najib: ‘Saya tidak pernah tandatangani’ – Hannah Yeoh

    Tahanan rumah Najib: ‘Saya tidak pernah tandatangani’ – Hannah Yeoh

    UMNO mahu berlagak jadi ‘abang long’, Pas berdepan tekanan perebutan kerusi

    UMNO mahu berlagak jadi ‘abang long’, Pas berdepan tekanan perebutan kerusi

    Kerajaan Negeri Sembilan tidak laksana proklamasi 19 April

    Kerajaan Negeri Sembilan tidak laksana proklamasi 19 April