
KANOWIT – Sesi Dialog Pemindahan Penjaja Tamu Esplanade dan Penjaja Kaki Lima Pekan Kanowit yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Kanowit menjadi platform penting bagi membincangkan isu perpindahan peniaga ke lokasi baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N49 Ngemah, Anyi Anak Jana menjelaskan bahawa perpindahan penjaja ke pasar baharu adalah selaras dengan arahan pihak atasan dan pegawai kerajaan hanya melaksanakan tanggungjawab berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan Pekan Kanowit lebih teratur, bersih dan tidak sesak, sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
” Kemudahan pasar baharu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran selain memastikan kelangsungan perancangan pembangunan pada masa akan datang tidak terjejas”, katanya ketika Sesi Dialog Pemindahan Penjaja Tamu Esplanade Dan Penjaja Kaki Lima Pekan Kanowit di Dewan Pejabat Daerah Kanowit pada Selasa.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pejabat daerah sentiasa terbuka untuk menerima pandangan serta aduan daripada peniaga, di samping menyatakan sokongan terhadap usaha mereka mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.

Namun begitu, wakil peniaga menyuarakan beberapa kebimbangan termasuk lokasi pasar baharu yang dianggap kurang strategik kerana jauh dari pusat pekan serta kekurangan akses pengangkutan darat bagi sesetengah peniaga.
Mereka juga berpandangan bahawa perpindahan berkemungkinan menjejaskan jumlah pelanggan selain mencadangkan agar lokasi lebih sesuai dipertimbangkan sekiranya perpindahan tetap dilaksanakan.
Selain itu, terdapat peniaga yang bersetuju untuk berpindah dengan syarat semua peniaga lain turut berbuat demikian serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penjaja haram yang beroperasi secara tidak sah.
Hasil sesi dialog tersebut, pihak Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kanowit bersetuju menawarkan pengecualian sewa selama tiga bulan sebagai insentif kepada peniaga yang berpindah ke pasar baharu.
Pada masa sama, peniaga dimaklumkan bahawa perpindahan ke lokasi baharu perlu dilaksanakan bermula 18 Mac 2026 dengan ruang untuk sesi dialog susulan sekiranya masih terdapat isu yang perlu diselesaikan.
Turut hadir wakil kepada Allan Siden Gramong, Pegawai Daerah Kanowit Cerisologo anak Sabut, Setiausaha Majlis Daerah Kanowit Chong Née Nie, Pemancha Charlie Salang, penghulu-penghulu, kaunselor serta wakil agensi berkaitan.





