
KOTA KINABALU – Datuk Ewon Benedick memberi jaminan perkhidmatan kereta api di Sabah selamat digunakan walaupun berlaku insiden perlanggaran melibatkan kereta api dan troli bermotor di Tenom baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Pengangkutan itu berkata, keselamatan perkhidmatan di bawah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah kekal terjamin selagi semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat oleh petugas yang terlibat.
“Hasil laporan awal yang dibentangkan kepada Kabinet negeri mendapati troli bermotor yang terlibat dalam insiden tersebut sememangnya sudah berada di atas landasan dan bukan dicampakkan untuk memberhentikan kereta api yang hilang kawalan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Kereta api yang digunakan ini masih selamat dengan mengambil langkah sewajarnya. Jika SOP dipatuhi, perkhidmatan kereta api kita masih selamat digunakan,” katanya pada sidang media sempena Program Penyerahan Pek Berbuka Puasa bagi Penumpang Perkhidmatan Kereta Api PS104 dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Kakitangan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai insiden di Tenom, Ewon berkata kereta api berkenaan dipercayai mengalami isu berkaitan sistem brek yang tidak dipastikan berfungsi sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan pada hari kejadian.
Bagaimanapun, selepas insiden tersebut berlaku, pemandu kereta api telah melakukan pemeriksaan terperinci terhadap sistem brek serta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sebelum meneruskan perjalanan.
“Kereta api yang sama kemudian bergerak semula ke Stesen Tenom dengan membawa penumpang termasuk kira-kira 12 guru serta penumpang lain dan perjalanan tersebut berlangsung tanpa sebarang masalah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ewon memaklumkan sebuah jawatankuasa Board of Inquiry telah ditubuhkan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati terdapat keperluan untuk menambah baik SOP berkaitan pemeriksaan keselamatan sebelum kereta api memulakan perjalanan, khususnya tanggungjawab pemandu dan pembantu pemandu dalam memastikan semua sistem berfungsi dengan baik,” jelasnya.
Pada masa sama, Ewon berkata kerajaan negeri juga akan meneliti semula isu penggunaan troli bermotor oleh penduduk tempatan di landasan kereta api kerana aktiviti tersebut sebenarnya tidak dibenarkan di bawah peraturan sedia ada.
“Sesi libat urus dengan komuniti setempat akan diadakan bagi mencari penyelesaian terbaik demi memastikan aspek keselamatan semua pihak terus terjamin.
“Penelitian akan dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek keselamatan kereta api dan SOP, tetapi juga melibatkan perundangan sedia ada berkaitan penggunaan landasan,” katanya.
Sementara itu, Ewon turut memaklumkan pihaknya akan membuat tinjauan laluan kereta api selepas Aidilfitri bagi melihat keadaan sebenar di lapangan.
“Hasil pertemuan dengan para pengguna, saya mendapati perkhidmatan kereta api Sabah masih mendapat permintaan tinggi, termasuk dalam kalangan penumpang dari Beaufort yang berulang-alik ke Kota Kinabalu untuk bekerja atau melanjutkan pengajian.
“Ini kerana kos tambang yang murah menjadikan perkhidmatan tersebut terus menjadi pilihan penting bagi masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman Sabah,” jelasnya.







