Reformasi sistem mobiliti negara perlu dilaksana atasi kesesakan musim perayaan

PUTRAJAYA – Kesesakan luar biasa di lebuh raya utama, khususnya pada musim perayaan berpunca daripada struktur sistem mobiliti negara yang terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Dr Shafezah Abdul Wahab berkata, kesesakan luar biasa itu disifatkan mencerminkan wujud kelemahan terhadap pengangkutan awam di Malaysia sehingga masyarakat gemar menggunakan kereta.

Menurut beliau, keadaan yang menyaksikan perjalanan empat jam dan boleh melarat sehingga 12 jam, seolah-olah menjadi ritual tahunan tidak seharusnya lagi dianggap sebagai perkara lumrah yang perlu ditempuhi.

“Kesesakan setiap musim perayaan bukan isu baharu. Kita boleh menjangkanya, malah boleh mengukurnya. Rakyat memandu bukan semata-mata kerana mahu tetapi mereka tiada pilihan yang benar-benar praktikal.

“Pengangkutan awam antara bandar masih terhad dari segi liputan dan kapasiti. Perkhidmatan rel tidak meliputi semua laluan utama, bas ekspres terperangkap dalam kesesakan yang sama.

“Pada masa sama, tambang penerbangan melonjak ketika musim puncak. Dalam keadaan ini, kereta menjadi pilihan terpaksa. Apabila jutaan rakyat bergerak serentak menyebabkan lebuh raya pun lumpuh,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shafezah berkata, pendekatan pembangunan infrastruktur yang terlalu menumpukan kepada penambahan lorong dan pelebaran lebuh raya juga tidak mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berpandangan, kesesakan trafik yang berlarutan turut memberi kesan ekonomi yang besar kerana pemandu membazir masa dan bahan api, selain syarikat terpaksa menanggung kos logistik lebih tinggi sehingga menjejaskan produktiviti negara.

“Dalam negara yang ingin meningkatkan daya saing, kita tidak boleh memandang ringan kelemahan sistem mobiliti. Lebih membimbangkan, kesesakan yang melampau meningkatkan risiko kemalangan. Pemandu yang terperangkap lapan hingga 10 jam mengalami keletihan fizikal dan mental.

“Masa yang lama menyebabkan fokus merosot, refleks menjadi lambat dan tekanan emosi meningkat. Kita sering menyalahkan sikap individu tetapi jarang mengakui sistem itu sendiri mewujudkan tekanan berpanjangan,” katanya.

Dalam pada itu, Shafezah memaklumkan, pengalaman negara lain menunjukkan masalah tersebut boleh ditangani sekiranya kerajaan melihatnya sebagai isu dasar, bukan sekadar isu operasi.

Beliau berpendapat, pelaburan dalam rangkaian rel jarak jauh, pelaksanaan cuti berperingkat serta penggunaan sistem trafik pintar berasaskan data masa nyata mampu membantu mengurangkan tekanan terhadap lebuh raya.

“Di Malaysia, kita masih cenderung mengambil langkah reaktif. Kita umumkan tol percuma atau larangan lori tetapi langkah ini tidak menyelesaikan punca. Kita jalankan kempen keselamatan tetapi tetap membiarkan jutaan rakyat bergerak serentak dalam sistem yang sama.

“Jika kita benar-benar mahu berubah, kita perlu mengutamakan pengangkutan awam antara bandar secara serius. Kita perlu memperkenalkan dasar kerja anjal dan cuti berperingkat agar pergerakan tidak bertumpu pada satu tarikh.

Tambah beliau, terdapat keperluan untuk pengurusan trafik pintar dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, bukan sekadar dilakukan pihak bertanggungjawab secara bermusim.

“Persoalannya kini bukan lagi mengapa kesesakan berlaku tetapi adakah kita berani mengubah sistem yang menyebabkannya?

“Selagi perubahan struktur tidak dilaksanakan dengan tegas dan konsisten, maka lebuh raya kita akan terus menjadi simbol kelemahan perancangan, bukan kemajuan negara,” katanya.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

PRN Johor tidak gugat Kerajaan Perpaduan, rakyat perlu terima realiti politik baharu

PRN Johor tidak gugat Kerajaan Perpaduan, rakyat perlu terima realiti politik baharu

Pemimpin PH Negeri Sembilan adakan pertemuan, dipercayai bagi bincang pembubaran DUN

Pemimpin PH Negeri Sembilan adakan pertemuan, dipercayai bagi bincang pembubaran DUN

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah