
MARAN – Polis mengesahkan sehingga kini tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk Kampung Chot di sini berhubung dakwaan beberapa rumah penduduk dibakar pihak pemaju.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya hanya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 58 tahun pada 14 Julai lalu berkaitan kejadian di Lot 42531, Mukim Luit, Maran.
Menurutnya, pengadu mendakwa bersama beberapa rakan sekerja daripada sebuah syarikat pemaju telah dihalang daripada menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
“Pengadu turut mendakwa sekumpulan individu telah mengugut untuk membakar jentera, menghalau pekerja dan membaling batu ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikat sehingga menyebabkan kerosakan.
“Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Maran menjalankan siasatan dan operasi pada 16 Julai lalu,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Terdahulu, beberapa hantaran di laman sosial yang tular mendakwa tiga individu Orang Asli di Kampung Chot ditahan polis susulan pertikaian berkaitan tanah adat dengan sebuah syarikat pemaju.
Mengulas lanjut, Kim Wai, berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 61 tahun berjaya ditahan di sekitar Kampung Chot dan Kampung Paya Besar, Chenor bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Mereka yang ditahan dibawa ke hadapan Majistret Mahkamah Maran pada 17 Julai lalu untuk direman dan diluluskan reman selama satu hari.
“Keterangan sokongan seperti rakaman video berkaitan laporan itu telah diperoleh dan lain-lain keterangan telah diberikan kepada pihak polis.
“Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berkepentingan serta memandang serius sebarang bentuk ugutan, keganasan atau perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Kita akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.



