
MUKAH – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib mengumumkan, peruntukan khas RM50,000 bagi menjayakan kelas tuisyen percuma dan sumbangan gajet pintar kepada pelajar di Parlimen Mukah pada Jumaat.
Ahli Parlimen Mukah itu berkata, inisiatif di bawah Program Tuisyen Setiaraja Mukah tersebut memberi tumpuan utama kepada pelajar yang lemah dalam pelajaran bagi mendapatkan bimbingan tambahan.
“Langkah ini diharap dapat membantu mereka menguasai mata pelajaran penting dengan lebih mudah, sekali gus membina keyakinan diri serta memupuk minat belajar.
“Pelajar kini perlu dilengkapi dengan kemudahan digital secukupnya supaya lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan yang berteraskan teknologi,” katanya.
Menurut Hanifah, program pendidikan itu merupakan kesinambungan daripada aspirasi penubuhan Yayasan Mukah yang diasaskan oleh ayahandanya, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi memajukan sektor pendidikan anak tempatan.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan tersebut, beliau menjelaskan sebanyak RM10,000 masing-masing telah disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah dan PPD Dalat.

Tambahnya, sebanyak RM20,000 lagi digunakan untuk pembelian 10 unit komputer tablet di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), manakala baki RM10,000 bagi menampung elaun guru, makanan pelajar dan buku latihan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut memuji keprihatinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan generasi muda di negeri ini mendapat akses pendidikan berkualiti tinggi.
“Sebanyak lima buah institusi pendidikan milik kerajaan negeri kini menawarkan pengajian percuma khas untuk anak-anak Sarawak yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya.




