
KUALA LUMPUR – Inisiatif Rumah Bangsa diperkenal UMNO mula menerima maklum balas positif daripada tokoh politik termasuk bekas pemimpin parti Melayu itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata, mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin minggu lalu, antara lain membincangkan pendekatan memperkukuh inisiatif berkenaan.
Ahmad, yang juga Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keterbukaan parti menerima kembali bekas ahli yang pernah digantung keahlian, dipecat atau meninggalkan parti sebelum ini.
“Sebagaimana kita sedia maklum, Presiden UMNO telah membuat kenyataan media menyatakan keterbukaan UMNO melalui Rumah Bangsa untuk menjemput mereka kembali bersama parti selain mengajak mereka yang belum menjadi ahli untuk menyertai perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program terbitan Bernama TV di sini, semalam.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, penelitian awal jawatankuasa mendapati beberapa tokoh menyatakan sokongan terhadap gagasan murni itu, meskipun ada segelintir pihak meletakkan syarat tertentu sebelum mempertimbangkan untuk kembali bersama UMNO menerusi inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, jawatankuasa itu yang dianggotai 10 orang turut ditugaskan mendekati beberapa bekas pemimpin utama dan dikenali ramai bagi mengadakan pertemuan serta perbincangan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai idea murni Rumah Bangsa sebagai wadah penyatuan dalam usaha mengukuhkan perjuangan orang Melayu menerusi UMNO.
Ahmad juga berkata usaha dipelopori Ahmad Zahid itu dilihat langkah penting untuk menyatukan kembali kekuatan politik Melayu di bawah payung UMNO sebagai parti teras orang Melayu.
“Penerimaan terhadap gagasan ini secara keseluruhan adalah positif… kita tidak memaksa sesiapa, tetapi sebagaimana ditugaskan oleh Presiden UMNO, kita akan terus berusaha bertemu dan berbincang.
“Setakat ini, jawatankuasa telah menerima beberapa permohonan daripada tokoh dan bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Rumah Bangsa,” katanya.


