
KUALA LUMPUR – Masyarakat dan ahli politik di negara ini disifatkan masih terperangkap dalam kerangka pemikiran konvensional yang menjadikan politik identiti sebagai alat membentuk persepsi dan menggerakkan emosi rakyat.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, pendekatan ‘lapuk’ itu menyebabkan suasana menjadi semakin sukar dan bercelaru, apatah lagi dalam era dominasi media sosial yang sangat berpengaruh ketika ini.
Beliau menegaskan, sebarang bentuk penyelesaian tidak akan dicapai sekiranya pelbagai pihak masih terikat dengan kerangka lama sehingga mewujudkan pelbagai persepsi negatif terhadap akar umbi.
“Kalau dilihat mutakhir ini, isu terkait agama seperti pembinaan kuil bukan berlaku selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kerajaan, ia merupakan legasi lama yang kita biarkan berlarutan sehingga wujud dalam ekosistem baharu, di mana demokrasi menjadi lebih terbuka.
“Ini soal kematangan, kita kena terima hakikat kadangkala kita terperangkap (antara) idealisme dengan realiti. Penyelesaian tidak boleh berlaku secara tergesa-gesa kerana ia mungkin dilihat mematikan demokrasi.
“Bagaimanapun, jika membiarkan tanpa pengawalan apatah lagi dengan isu adab dan diburukkan dengan apa sebut disinformasi dengan memanipulasi maklumat yang akhirnya rakyat terperangkap dengan kecelaruan. Inilah cabaran bukan sahaja untuk JKOM namun agensi komunikasi kerajaan yang lain,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang bersiaran secara langsung di Bernama TV, pada Khamis.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan media sosial sebagai ancaman mengugat kestabilan negara Ismail berpandangan, isu terbabit bukanlah bersifat teknikal, sebaliknya strategik yang memerlukan keberanian politik (political will) untuk mengubah naratif nasional daripada polemik keresahan identiti kepada patrotisme sejati.

Menurut beliau, langkah itu merupakan pendekatan baharu dalam membentuk patriotisme baharu yang tidak menafikan kedudukan orang Melayu, Islam adalah agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ataupun institusi Raja-Raja.
“Kerangka Perlembagaan itu sakral dan mesti dipertahankan. Jangan kita lupa pengalaman pahit rusuhan kaum 1969 yang memerlukan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengambil masa tempoh tiga tahun untuk diselesaikan. Kita merdeka pada 1957, pembentukan Malaysia pada 1963, dan sejak awal kita mengurus kepelbagaian.
“Pemimpin terdahulu berjaya menanganinya dengan baik. Sebab itu isu seperti rumah ibadat atau penghinaan terhadap al-Quran tidak boleh dilihat semata-mata sebagai sentimen perkauman. Ia juga soal penguatkuasaan undang-undang. Kita negara hukum dan kalau kita biarkan sentimen emosi, akhirnya ia menjadi tidak terkawal,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, cabaran terbesar ketika ini adalah pengurusan maklumat yang rencam dalam persekitaran media sosial, yang sering memerangkap kerajaan dalam keadaan defensif.
“Kalau kita terus berpencak silat dengan permainan media sosial kerajaan akan jadi defensif. Sebagai contoh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) laksana penguatkuasaan ia dilihat sebagai satu tindakan tidak demokratik
“Hari ini cabaran kita ialah bagaimana mengurus limpahan maklumat supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan manipulasi maklumat yang disampaikan,” katanya.




