
PUTRAJAYA – Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua merekodkan perbelanjaan melebihi RM1 bilion dalam tempoh tiga minggu pelaksanaannya tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 12.5 juta rakyat Malaysia bagi pembelian barangan keperluan asas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pengurusan kewangan negara yang lebih berhemat dan berdisiplin sehingga membolehkan penjimatan disalurkan terus kepada rakyat.
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan SARA untuk Semua terhasil daripada langkah penstrukturan semula kewangan negara yang dilaksanakan kerajaan.
“Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat. Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), hari ini.
MoF memaklumkan nilai transaksi pada hari pertama pelaksanaan tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama pelaksanaan tahun lalu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kementerian itu telah memperkukuh sistem pemprosesan transaksi bagi memastikan kelancaran pembelian tanpa gangguan.
“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lalu, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” katanya.
Tambah MoF, penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan memudahkan proses agihan dan penggunaan bantuan secara lebih cekap serta telus.
Setakat ini, 56 peratus daripada kredit RM100 yang disalurkan di bawah program berkenaan telah digunakan oleh penerima untuk membeli barangan keperluan asas, manakala baki kredit masih sah sehingga 31 Disember ini.
Dari sudut geografi, kadar penebusan tertinggi direkodkan di Sabah sebanyak 70 peratus, diikuti Perlis (65 peratus), Kelantan dan Labuan masing-masing 64 peratus, Terengganu dan Kedah (63 peratus), Sarawak (62 peratus) serta Pahang (60 peratus).
Secara keseluruhan, kadar penggunaan lebih tinggi dicatatkan di zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung.
MoF menjelaskan bahawa inisiatif SARA untuk Semua bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, malah merangsang ekonomi setempat khususnya melalui penglibatan premis runcit komuniti.
Ketika ini, rangkaian Rakan Niaga SARA melibatkan lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara selain pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi melebihi 11,300.
Kerajaan menyasarkan peningkatan jumlah kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini, sekali gus menambah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000 premis.
Usaha itu dijangka mengurangkan jarak purata rakyat ke premis penerimaan SARA kepada kira-kira tujuh kilometer berbanding sekitar 10 kilometer pada masa ini.


