PUTRAJAYA – Umat Islam diseru untuk tidak membiarkan provokasi murahan berhubung isu memijak al-Quran mengheret kepada konflik lebih besar susulan api kemarahan yang tidak terkawal akan membawa kepada kerugian dan akibat yang sukar dibaiki.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, sikap matang dan berhikmah dalam mengambil tindakan bukan sahaja dapat menyelesaikan isu dengan berkesan, tetapi dapat mengelakkan daripada pelbagai konflik lain yang tidak sepatutnya timbul.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, umat Islam disarankan untuk tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa agar hukuman tegas dan setimpal dengan perbuatan biadab itu dapat dilaksanakan.
“Berdasarkan perkembangan semasa, tindakan sudah diambil terhadap individu terbabit dan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkfili Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan pelbagai agensi kerajaan telah mengeluarkan kenyataan masing-masing yang mengecam keras perbuatan tersebut.
“Semua menegaskan bahawa ia merupakan tindakan biadab yang menghina Islam serta mencabar sensitiviti masyarakat, di samping memberi jaminan bahawa siasatan dan tindakan tegas akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang sedia ada.
“Dengan hukuman tegas yang bakal dikenakan kepada individu tersebut diharapkan tiada lagi pihak yang sengaja menimbulkan permusuhan dan provokasi terhadap isu 3R (agama, kaum dan Raja) dalam negara yang tercinta ini,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz berkata,
Rasulullah SAW juga telah mengingatkan umat Islam tentang erti kekuatan yang sebenar bukanlah dengan menunjukkan kekuatan fizikal tetapi kemampuan seseorang menahan diri ketika marah.
Katanya, berdasarkan riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, orang yang kuat itu tidak dinilai dengan kekuatan pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.
“Oleh yang demikian, dalam berhadapan dengan golongan yang jahil atau sengaja membangkitkan kemarahan, Allah SWT mengajar kita untuk membalasnya dengan pendekatan yang lebih baik dan matang agar kebenaran Islam itu lebih terserlah sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat ke-34 Surah Fussilat.
“Maksudnya ‘Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib’. Inilah cara dan kaedah yang betul diajarkan oleh Islam dalam menangani isu-isu seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fauwaz memaklumkan, perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan biadab, melampau dan tidak boleh diterima sama sekali, khususnya di dalam negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Apatah lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia yang turut dikenali sebagai bulan al-Quran yang diagungkan oleh umat Islam. Kitab al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan kitab suci umat Islam yang wajib dijaga dan dipelihara kesuciaannya.
“Umat Islam wajib berasa marah dan menolak perbuatan ini secara tegas. Ketegasan di sini bermaksud kita mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya terhadap pelaku tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Tambahnya, jika dilakukan oleh seorang Muslim, perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa, malah jika bertujuan menghina, pelaku boleh dianggap murtad dan kafir secara ijmak ulama.
“Bagi orang bukan Islam yang melakukan perbuatan menghina perkara suci dalam agama Islam pula, mereka akan diberikan balasan azab yang pedih atas perbuatan penghinaan mereka tersebut sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat ke-10 Surah al-An’am.
“Maksudnya ‘Dan demi sesungguhnya telah diperolok-olok beberapa rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu’.
“Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa golongan kafir berkenaan akan ditimpakan azab yang dahsyat di mana mereka menyangkakan bahawa azab tersebut tidak akan berlaku ke atas mereka,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran.

Individu berkenaan yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakannya memuat naik gambar tersebut.
Penahanan turut dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh bapanya pada awal pagi Rabu lalu selepas menyedari hantaran berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Suspek direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan akan disambung semula sehingga Selasa depan.



