Dividen KWSP dikreditkan mengikut akaun, bukan semua disalur ke Akaun 3

KUALA LUMPUR – Agihan dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan terus ke dalam akaun ahli masing-masing mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak boleh dipindahkan merentasi akaun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, berdasarkan Akta KWSP 1991, setiap agihan dividen tertakluk kepada struktur akaun yang ditetapkan dan mesti dimasukkan ke dalam akaun yang sepadan dengan baki simpanan ahli.

“Di bawah Akta KWSP sedia ada, dividen mesti dikreditkan ke dalam akaun yang betul. Jika simpanan berada dalam Akaun 1 atau Akaun 2, dividen perlu dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

“Kita tidak boleh mengambil dividen daripada akaun lain dan menyalurkannya ke Akaun 3,” katanya lapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi kewangan KWSP, di sini, hari ini.

Menurut beliau, ketetapan itu selaras dengan kerangka perundangan serta prinsip pengurusan simpanan persaraan yang diamalkan KWSP bagi memastikan integriti dan ketelusan pengagihan dividen kepada lebih 16 juta ahli.

Beliau turut menjelaskan bahawa pencarum yang mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) tetap layak menerima dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan 2025.

Namun, katanya, pengagihan dividen dibuat berdasarkan baki sebenar dalam setiap akaun dan bukan secara pukal atau tertumpu kepada satu akaun sahaja.

Dividen akan dikreditkan mengikut baki purata harian dalam Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).

“Jika pencarum sudah mengeluarkan keseluruhan simpanan dalam Akaun Fleksibel, maka akaun itu tidak akan menerima dividen. Pengiraan dibuat berdasarkan baki purata harian setiap akaun,” katanya.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, menjadikan tahun kedua berturut-turut kadar yang sama diberikan kepada kedua-dua dana.

Dari segi prestasi jangka panjang, Simpanan Konvensional mencatat pulangan terkumpul lima dan 10 tahun masing-masing 5.88 peratus, manakala bagi tempoh 15 dan 20 tahun ialah 6.03 peratus dan 5.87 peratus.

Simpanan Shariah pula merekodkan pulangan terkumpul lima dan 10 tahun sebanyak 5.65 peratus dan 5.60 peratus.

Related Posts

Malaysia perlu lahirkan lebih banyak juara korporat bertaraf serantau

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu berkembang daripada perusahaan berpotensi kepada juara nasional sebelum muncul sebagai peneraju di peringkat serantau bagi memperkukuh daya saing ekonomi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Nilai ringgit dibuka stabil pada awal dagangan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama dan hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan pengumuman data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sembilan tahun turun padang, perjuangan Pertubuhan Ikon Malaysia akhirnya diiktiraf

Sembilan tahun turun padang, perjuangan Pertubuhan Ikon Malaysia akhirnya diiktiraf

Manifesto bukan kitab suci, tapi janji harus ditepati – Wilfred Yap

Manifesto bukan kitab suci, tapi janji harus ditepati – Wilfred Yap

Penyatuan utuh di bawah GPS jamin kemakmuran berterusan Bumi Kenyalang

Penyatuan utuh di bawah GPS jamin kemakmuran berterusan Bumi Kenyalang

PKR belum terima surat letak jawatan ahli Parlimen

PKR belum terima surat letak jawatan ahli Parlimen

DAP sahkan tanding PRN Sarawak, tawar suara alternatif semak dan imbang

DAP sahkan tanding PRN Sarawak, tawar suara alternatif semak dan imbang

Aduan sudah diangkat namun tiada tindakan selesai kes buli, salah guna kuasa di sekolah

Aduan sudah diangkat namun tiada tindakan selesai kes buli, salah guna kuasa di sekolah