
KUCHING – Konsep semak dan imbang di Sarawak mempunyai takrifan berbeza apabila penyatuan seluruh rakyat di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat lebih kritikal berbanding keperluan memiliki pihak pembangkang di dewan undangan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, kesatuan suara itu amat penting bagi membolehkan GPS bertindak sebagai kuasa semak dan imbang yang kuat terhadap Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, langkah itu membolehkan kerajaan Sarawak terus memberi tekanan agar segala janji berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan dan dipenuhi sepenuhnya.
“Sistem semak dan imbang sepatutnya bermaksud Sarawak Jaga Sarawak. Kita perlu tunjukkan kepada pihak di Semenanjung Malaysia bahawa kita bersatu hati dan serius mahu menuntut kembali hak-hak kita tanpa sekadar bercakap kosong.
“Bagi peringkat dalaman pula, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkukuh institusi bagi memastikan wujudnya tatakelola yang baik. Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) contohnya, mempunyai sistem semak dan imbang yang sudah terbina di dalam pentadbiran tanpa memerlukan tekanan luaran,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas rumusan dan pandangan beliau selepas menyertai satu program perdebatan ahli politik, baru-baru ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai wawasan dan pembangunan mampan negeri, Wilfred mendedahkan bahawa kerajaan Sarawak sedang giat menyusun langkah untuk melancarkan satelit nano orbit rendah.
Jelasnya, perancangan untuk menubuhkan agensi angkasa lepas bukanlah bertujuan menghantar angkasawan ke bulan atau Marikh, sebaliknya menumpukan kepada teknologi pemetaan, pengurusan karbon dan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, beliau berkata inisiatif pengangkutan dan infrastruktur mega turut menunjukkan kemajuan yang positif demi memangkin ekonomi tempatan.
“Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) kini sudah mula menawarkan kursus berkaitan penyelenggaraan pesawat bagi mempersiapkan rakyat kita untuk bekerja dengan syarikat penerbangan milik negeri kelak.
“Malah, perancangan Premier Sarawak untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa baharu yang dilengkapi kemudahan bersepadu di Tanjung Embang juga sedang berjalan seiring dengan wawasan ekonomi Sarawak,” tambahnya.



