KUALA LUMPUR – Pengiktirafan diterima Pertubuhan Ikon Malaysia merupakan bukti perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu masyarakat tetap mempunyai nilai meskipun bermula tanpa dana besar dan publisiti.
Pengasasnya, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, anugerah Pertubuhan Prihatin 2026 yang diterimanya daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah anugerah pertama diterimanya daripada jabatan kerajaan sepanjang penglibatannya dalam dunia NGO.
“Anugerah yang diterima hari ini adalah satu pengiktirafan kepada sebuah perjuangan yang dibina bukan dengan kemewahan atau dana yang besar, tetapi dengan keikhlasan, semangat sukarelawan dan kesanggupan untuk turun padang membantu masyarakat.
“Bagi saya, membina dan mempertahankan sebuah NGO bukan sesuatu yang mudah kerana kita semua mempunyai kerjaya, komitmen dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan sesebuah NGO turut berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan ahli jawatankuasa, perbezaan ideologi dan pandangan, selain kesukaran mencari individu yang sanggup bergerak sebagai satu pasukan serta berkongsi misi sama.
“Pengiktirafan itu amat bermakna bukan sahaja buat dirinya, malah seluruh keluarga Ikon Malaysia kerana membuktikan usaha kecil yang dilakukan secara konsisten untuk membantu masyarakat tetap dihargai.
“Walaupun bermula tanpa dana, tanpa publisiti besar dan tanpa kemewahan, usaha yang dilakukan dengan ikhlas tetap mempunyai nilai apabila kita benar-benar konsisten membantu masyarakat,” katanya.
Normaziah turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan kerajaan, agensi, pegawai dan kakitangan yang memberikan sokongan serta kerjasama dalam menjayakan misi Pertubuhan Ikon Malaysia, khususnya kempen kesedaran berkaitan jenayah buli, penderaan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta remaja.
Beliau berkata, kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPPM bersama rakan strategik lain menjadi antara faktor kejayaan kempen berkenaan.
“Sesungguhnya, kejayaan kempen ini bukan hasil usaha Pertubuhan Ikon Malaysia semata-mata, sebaliknya hasil sinergi, kepercayaan dan semangat kebersamaan antara kerajaan, agensi, NGO dan masyarakat.
“Tanpa sokongan serta komitmen semua pihak, matlamat menyampaikan pendidikan awal mengenai keselamatan diri kepada anak-anak kita tidak akan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.
Normaziah berkata, usaha melindungi kanak-kanak bukan tanggungjawab satu agensi atau pertubuhan sahaja, sebaliknya amanah bersama yang memerlukan kerjasama kerajaan, NGO, institusi pendidikan, pasukan keselamatan, sektor kesihatan dan masyarakat.
Katanya, kerjasama rentas agensi itu bukan sekadar menghasilkan program, malah membina benteng perlindungan demi masa depan generasi pewaris negara.
“Diharapkan jalinan kerjasama yang terjalin dapat terus diperkukuhkan supaya lebih ramai kanak-kanak di seluruh negara menerima ilmu, kesedaran dan perlindungan sewajarnya.
“Anugerah ini bukan milik saya seorang. Anugerah ini milik seluruh keluarga Ikon Malaysia, termasuk ahli jawatankuasa, ahli, sukarelawan, rakan strategik, jabatan kerajaan serta semua yang pernah menyumbang tenaga, masa, idea dan dana sepanjang perjalanan Ikon Malaysia,” katanya.




