KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, memaklumkan jumlah agihan dividen bagi Simpanan Konvensional berjumlah RM67.1 bilion, manakala Simpanan Shariah sebanyak RM12.5 bilion.
“Keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk 2025 adalah RM79.6 bilion,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP yang diadakan di Menara KWSP, Kwasa Damansara, hari ini.
Sebagai perbandingan, bagi tahun kewangan 2024, KWSP mengumumkan dividen 6.3 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM73.24 bilion.
Pada 2023, kadar dividen Simpanan Konvensional ditetapkan pada 5.50 peratus berbanding 5.35 peratus pada 2022, melibatkan jumlah agihan RM50.33 bilion.
Bagi Simpanan Shariah pula, dividen 5.40 peratus diisytiharkan pada 2023 berbanding 4.75 peratus pada tahun sebelumnya, dengan jumlah agihan RM7.48 bilion.
Mengulas prestasi pelaburan, Ahmad Zulqarnain berkata jumlah aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.41 trilion, iaitu kenaikan 12.8 peratus berbanding RM1.25 trilion, dipacu oleh pendapatan portfolio serta caruman bersih berjumlah RM66.5 bilion.
“Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
“Jumlah ini mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024 manakala pulangan pelaburan (ROI) sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan.
“Pelaburan Ekuiti Persendirian, yang merangkumi kira-kira 8 peratus daripada pelaburan ekuiti mencatatkan ROI sebanyak 10.5 peratus,” katanya.




