KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu berkembang daripada perusahaan berpotensi kepada juara nasional sebelum muncul sebagai peneraju di peringkat serantau bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat berkapitalisasi pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion yang telah membuktikan prestasi kukuh perlu terus meningkatkan keupayaan dan tidak menganggap kejayaan semasa sebagai noktah kepada pertumbuhan mereka.
“Pengiktirafan yang diterima tidak seharusnya menjadi penamat kepada impian yang lebih besar. Masih terdapat pasaran baharu yang perlu diterokai, keupayaan baharu yang perlu dibangunkan serta pencapaian lebih tinggi yang perlu diraih.
“Pelabur mempunyai jangkaan yang tinggi, begitu juga aspirasi negara. Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat yang mampu berkembang daripada perusahaan berpotensi kepada juara nasional, seterusnya menjadi peneraju di peringkat serantau,” katanya, seperti dipetik berita tempatan hari ini.
Menurut Amir Hamzah, aspirasi itu menjadi teras kepada Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang menyasarkan saiz pasaran modal Malaysia berkembang daripada RM4.3 trilion pada 2025 kepada sekurang-kurangnya RM5.8 trilion menjelang 2030, dengan pertumbuhan dipacu syarikat pelbagai saiz.
Katanya, syarikat perlu terus melangkaui fasa pertumbuhan awal dan membina keupayaan untuk bersaing pada tahap yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau berkata inisiatif seperti Bursa RISE+ dan MY Value Up diperkenalkan bagi membantu syarikat tersenarai memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran serta meningkatkan daya saing.
“Kedua-dua inisiatif ini berteraskan prinsip yang sama, iaitu penilaian yang lebih tinggi perlu dibina berasaskan asas perniagaan yang kukuh dan bukannya bergantung kepada promosi semata-mata,” katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan bahawa usaha mengejar pertumbuhan perlu disertai amalan tadbir urus korporat yang baik serta etika perniagaan yang tinggi.
Beliau berkata, pelabur masa kini bukan sahaja menilai prestasi kewangan syarikat, malah turut memberi perhatian terhadap keupayaan syarikat mengurus modal, risiko, kebajikan tenaga kerja dan aspek kemampanan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dalam jangka panjang.







