
BENJAMIN Sesko sekali lagi muncul wira dari bangku simpanan apabila membantu Manchester United melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris selepas menang 1-0 ke atas Everton.
Sesko masih belum membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan di bawah kendalian Carrick, namun dia kini berada pada prestasi terbaik sejak Ruben Amorim dipecat bulan lalu.
Penyerang Slovenia itu yang hanya menjaringkan dua gol dalam 22 penampilan awal selepas perpindahan bernilai £74 juta (RM388 juta) dari RB Leipzig, kini meledak enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir.
Kemenangan itu meletakkan United tiga mata di hadapan Chelsea dan Liverpool dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan hanya lima pasukan teratas layak.
Kualiti gerakan United yang menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-71 nyata berbeza dengan aksi keseluruhan perlawanan yang hambar sepanjang 90 minit.
Everton kini gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan di laman sendiri ketika mereka masih bergelut menyesuaikan diri di stadium baharu Hill Dickinson berkapasiti 52,000 tempat duduk.
Anak buah David Moyes terlepas peluang melonjak ke tangga ketujuh apabila terus berada di pinggiran perebutan tiket ke pentas Eropah musim depan.






