
TAMBUNAN – Hujan lebat berterusan sejak malam semalam menyebabkan paras air sungai di beberapa kawasan di daerah ini meningkat ke tahap bahaya, sekali gus mengakibatkan kejadian banjir kilat yang menjejaskan sekurang-kurangnya 15 buah rumah di Kampung Kinabaan.
Menurut kenyataan rasmi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tambunan, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima aduan orang awam pada jam 10.25 malam memaklumkan Jalan Utama Molout Sunsuron tidak dapat dilalui selepas paras air sungai meningkat mendadak.
“Sepasukan anggota APM telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta penilaian keadaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
“Hasil pemeriksaan mendapati paras air Sungai Molout berada pada tahap bahaya dengan bacaan 566.21 meter, melepasi paras amaran yang direkodkan pada nilai yang sama, manakala trend semasa menunjukkan paras air kekal tinggi.
“Anggota bertugas turut memberikan khidmat nasihat kepada penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan melalui kawasan dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Tambah kenyataan tersebut, beberapa laluan utama turut terjejas dan dinaiki air, antaranya Jalan Kampung Kinabaan, Jalan Utama St. Martin dan Jalan Utama Karanan, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk di kawasan tersebut.
Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan mangsa dipindahkan, serta kampung yang dilaporkan terputus hubungan darat atau komunikasi setakat laporan ini diterima.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tambunan memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca yang masih hujan dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.






