Cacamarba rembayung selubungi PN

SENARIO politik pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN) kini berdepan ujian dalaman yang semakin jelas kelihatan di mata umum.

Penganalisis politik tanah air, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, rembayung yang sepatutnya menjadi simbol kesatuan selepas badai politik, kini tampak berselerak warnanya, tidak sekata, tidak tersusun.

“Hierarki terbalik, isyarat kabur. Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN mencetuskan persoalan politik yang sukar dielak.

“Mengapa bukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang? Jika faktor uzur dijadikan alasan, mengapa bukan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man?” soalnya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, struktur yang tidak selari dengan hierarki parti membuka ruang tafsiran bahawa keputusan dibuat atas percaturan taktikal, bukan prinsip kepimpinan yang jelas.

“Dalam politik, simbol membawa mesej. Apabila mesej tidak konsisten, keyakinan menjadi mangsa pertama.

“Dominasi senyap, persaingan halus. Sebagai parti terbesar dalam PN, Pas memiliki kekuatan angka. Namun pada masa sama, Bersatu masih menampilkan tokoh nasional seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berpengalaman memimpin kerajaan.

“Gabungan ini sepatutnya mencipta kestabilan. Tetapi apabila susunan kepimpinan dilihat tidak menepati jangkaan umum, persoalan timbul, siapakah nakhoda sebenar? Adakah kuasa diagih secara tersusun, atau sedang berlaku imbangan yang rapuh?” soal Azhar lagi.

Bagaimanapun Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, situasi yang berlaku terhadap PN mampu menguntum senyum kepada lawan yang tidak perlu bersusah payah menyerang.

“Pastinya lawan PN hanya perlu memerhati dan tersenyum lebar. Setiap kekaburan struktur, setiap percanggahan naratif, menjadi peluru percuma kepada lawan.

“Gabungan seperti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pastinya melihat perkembangan ini sebagai ruang strategik untuk memperkukuh hujah bahawa PN sendiri belum benar-benar stabil.

“Malah prestasi teruk keempat negeri pentadbiran telah membuktikan PN sebenarnya tidak pandai memerintah dan hanya mahu berkuasa sahaja.

“Kontroversi yang melanda politik Perlis sebelum ini telah membuka mata rakyat, mereka sesama sendiri tebuk atap kerajaan negeri sendiri, ini memang memalukan,” katanya.

Justeru, Azhar menegaskan, rembayung yang sepatutnya simbol harmoni selepas hujan boleh dipertikaikan adakah ia sebenarnya retakan menanti belah menunggu PN.

“Namun jika warnanya tidak disusun rapi, ia bukan lagi lambang keindahan tetapi tanda langit yang masih bergegar.

“Sekiranya PN gagal menjelaskan hala tuju dan menyatukan naratif kepimpinan, label “cacamarba” mungkin terus menghantui. Dan dalam politik, persepsi yang berulang lama-kelamaan berubah menjadi kepercayaan.

“Akhirnya, persoalan sebenar bukan tentang siapa memegang jawatan, tetapi sama ada gabungan itu benar-benar bersatu atau sekadar berteduh di bawah rembayung yang sama, sementara retakan perlahan-lahan membesar. Rakyat perlu bijak menilai,” katanya.

Related Posts

Biro Kebajikan PKR Tawau agih pakaian ‘bundle’ percuma

TAWAU – Biro Kebajikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tawau menyediakan pakaian ‘bundle’ secara percuma khusus kepada anggota cabang sebagai inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan beban mereka. Ketua Cabang PKR…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu hubungan politik di semenanjung tidak libatkan BN Sabah – Suhaimi

SANDAKAN – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mengakui hubungan antara Barisan Nasional (BN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Semenanjung ketika ini dilihat melalui pelbagai fasa,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Manifesto PH demi masa depan terbaik anak-anak Negeri Sembilan

Manifesto PH demi masa depan terbaik anak-anak Negeri Sembilan

PH lancar 10 komitmen dalam manifesto PRN Negeri Sembilan

PH lancar 10 komitmen dalam manifesto PRN Negeri Sembilan

Keupayaan urus Negeri Sembilan bukti PH tidak tampil dengan retorik kosong

Keupayaan urus Negeri Sembilan bukti PH tidak tampil dengan retorik kosong

Tidak mahu Sabah jadi ‘Syurga Scammer’, lulus segera RUU Jenayah Siber langkah tepat

Tidak mahu Sabah jadi ‘Syurga Scammer’, lulus segera RUU Jenayah Siber langkah tepat

Sungai Sedim paling berisiko kes kepala air di Kedah

Sungai Sedim paling berisiko kes kepala air di Kedah

Gangguan monyet cetus cadangan mini zoo di Balung Kokos

Gangguan monyet cetus cadangan mini zoo di Balung Kokos