
TELUPID – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) merangkap ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menggesa semua kakitangan jabatan dan agensi di bawah MAFFI supaya lebih aktif bekerja di lapangan.
“Semua kakitangan hendaklah turun ke lapangan sekurang-kurangnya 60 peratus bagi memantau dan mengenal pasti keperluan serta menyelesaikan masalah petani.
“Dalam tempoh dua bulan, saya akan kembali ke kawasan ini untuk menilai progress kemajuan fasiliti yang diberi keutamaan untuk dibaiki serta diselanggara,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Beliau menyuarakan gesaan itu ketika mengadakan pertemuan bersama para petani di Trusan Sapi, diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong serta mendengar sendiri keluhan dan permasalahan yang dihadapi mereka.
Dalam pada itu, Jamawi turut mengarahkan Jabatan Pertanian, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta Korporasi Pembangunan Desa (KPD) menempatkan pegawai di kawasan penanaman padi dan berinteraksi terus dengan petani.
Semasa lawatan, Jamawi turut menyarankan penggunaan racun serangga yang disyorkan Jabatan Pertanian, benih padi yang sesuai serta pembinaan dan penyelenggaraan sistem perparitan lebih efisien bagi meningkatkan hasil pertanian.
Beliau turut mendengar taklimat daripada Pengarah Desa Padi Plantation Sdn Bhd, Datuk Yap Yun Fook.
Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras (LPBS), Datuk Madiyem Layapan dan Pengurus Besar KPD, Jailis Masarip serta beberapa lagi pegawai MAFFI, JPS, KPD dan LPBS.







