
KUALA LUMPUR – Pelaburan baharu Google bernilai AS$15 bilion (kira-kira RM63 bilion) bagi tempoh 2027 hingga 2028 dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan strategik itu turut dijangka menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun sepanjang fasa pembinaan, selain mengekalkan lebih 9,000 pekerjaan setahun apabila kemudahan berkenaan mula beroperasi.
“Ini merupakan manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi, keupayaan bakat tempatan serta potensi Malaysia sebagai hab teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) terkemuka di rantau ini.
“Namun, saya tegaskan bahawa kejayaan pelaburan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui besarnya modal yang dibawa masuk, sebaliknya sejauh mana manfaatnya dapat mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Mantap Malaysia Bersama AI anjuran Google di Universiti Malaya pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik komitmen Google untuk meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, merangkumi golongan muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidik, penjawat awam serta usahawan kecil.
Inisiatif berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan lebih 80 entiti tempatan bagi memperkukuh keupayaan industri negara, memperluas peluang pekerjaan berkualiti dan merapatkan jurang digital.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan teknologi juga perlu berteraskan prinsip ihsan serta tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Katanya, komitmen Google untuk menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt selain memperkukuh jaminan bekalan air negara merupakan antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian dalam pembangunan teknologi.
“Kita tidak mahu revolusi AI sekadar berlegar di kalangan elit, sedang rakyat kebanyakan hanya menjadi pemerhati.
“Kemajuan sebenar ialah apabila kecanggihan teknologi, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergerak seiring, tanpa ada yang tercicir daripada arus perubahan,” katanya.



