
SANDAKAN – Kerajaan Sabah bercadang menambah keupayaan bekalan air ke daerah ini menerusi penyaluran tambahan daripada beberapa loji rawatan air, khususnya Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud dan LRA Kinabatangan, bagi mengurangkan masalah kekurangan bekalan air yang berlarutan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah I , Datuk Joachim Gunsalam berkata, perancangan tersebut bagaimanapun memerlukan tempoh masa yang panjang kerana melibatkan pembinaan rangkaian paip yang teratur.
“Usaha ini akan dilaksanakan dalam jangka masa panjang bagi memastikan bekalan air di Sandakan dapat ditambah sekali gus mengurangkan atau jika boleh, menamatkan masalah gangguan bekalan air.
“Hari ini saya telah meminta taklimat daripada Jabatan Air Sandakan (JANS) bagi mengetahui punca sebenar masalah air di Sandakan.
“Hasil taklimat mendapati punca utama adalah kekurangan kapasiti penyediaan bekalan,” katanya semasa lawatan kerja ke salah sebuah telaga tiub ‘borehole’ di Sandakan, di Batu 4, di sini, pada Isnin.
Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, kapasiti pengeluaran bekalan air ketika ini adalah kira-kira 169 juta liter sehari, manakala permintaan mencecah sekitar 180 juta liter sehari, sekali gus menunjukkan berlakunya kekurangan bekalan.
Tambah Joachim, masalah tersebut turut diburukkan dengan keadaan paip lama di beberapa kawasan yang telah uzur, sekali gus menyumbang kepada gangguan dan ketiadaan bekalan air.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kewujudan telaga tiub baharu yang dibina di kawasan berkenaan dan didapati mempunyai sumber air bawah tanah.
“Daripada lebih 30 telaga tiub yang ada, hanya lapan yang beroperasi dan itu pun tidak sepenuhnya.
“Rancangan terdekat adalah untuk mengenal pasti sama ada borehole lama masih boleh dibersihkan dan direhabilitasi bagi mengeluarkan air,” jelasnya.
Katanya, sekiranya borehole sedia ada tidak lagi berfungsi tetapi masih terdapat sumber air bawah tanah, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membina borehole baharu.
“Kita akan berbincang dan membuat semakan bersama JANS sebelum membuat keputusan sama ada pembinaan borehole baharu perlu dilaksanakan atau tidak,” ujarnya.


