
KUANTAN – Tugas memartabatkan syiar Islam akan terus menjadi agenda utama dalam pentadbiran kerajaan negeri Pahang.
Perkara itu juga kekal sebagai agenda paling penting dan tidak boleh dikompromi dengan agenda lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, peringatan itu jelas seperti titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69 Tahun 2026.
“Baginda menzahirkan kesyukuran dalam masa yang sama memuji usaha dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail… terutamanya dalam menjunjung kedudukan al-Quran sebagai tunjang dalam pentadbiran.
“Tuanku turut mengambil maklum perkembangan maahad tahfiz kendalian Yayasan Pahang seperti Maahad Tahfiz Turath di Balok yang mencipta pelbagai kejayaan membanggakan,” katanya.
Ahmad Irshadi menjelaskan, keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah menunjukkan kepekaan Baginda dalam hal itu.
Dengan merujuk kepada Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Cameron Highlands, Baginda menyarankan agar usaha berkenaan dapat diteruskan ke peringkat menengah.
“Ia adalah bagi memastikan kelangsungan tarbiah dalam kalangan pelajar terbabit dan sekaligus menunjukkan keprihatinan Tuanku dalam bab pendidikan Islam untuk generasi muda di Pahang,” kata Ahmad Irshadi.

Beliau turut menyifatkan pandangan dan cadangan Al-Sultan Abdullah untuk mentransformasikan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) sebagai Universiti al-Quran pertama di Malaysia, sebagai sangat tepat pada masa.
“Baginda ada memberi bayangan UniPSAS akan melalui penjenaman baharu dan perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Tuanku tidak lama lagi,” jelasnya.
Al-Sultan Abdullah turut mempunyai visi jelas dalam perkara berkaitan pengurusan maahad tahfiz di Pahang.
Ahmad Irshadi memaklumkan, Baginda menekankan keperluan memperkemaskan pengurusan lebih 200 maahad tahfiz yang terdapat di negeri ini.
“Tuanku ada sentuh soal pengurusan maahad tahfiz dan Baginda tidak mahu ia dikendali oleh mereka yang kurang arif dari segi pengurusan.
“Jadi, perkara ini turut perlu diberi perhatian kerana kita pun tidak mahu melihat anak-anak yang belajar di maahad tahfiz – terutama yang dikendalikan pihak swasta atau orang perseorangan – mengikuti pengajian dalam keadaan serba kekurangan… kalau boleh, ia diuruskan dengan sistematik dan profesional,” jelasnya.
Secara umumnya, kata Ahmad Irshadi, usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mengukuhkan pembinaan insan dan memakmurkan masyarakat dengan meletakkan agenda Islam sebagai panduan dan keutamaan, mendapat limpah perkenan Al-Sultan Abdullah.
“Pengiktirafan daripada Baginda Ini menjawab segala persoalan dan permainan persepsi pihak tertentu kononnya kerajaan Pahang mengabaikan syiar Islam dan tidak mengamalkan corak pentadbiran Islamik,” katanya.





