
KUCHING – Program Gotong-Royong Perdana 2026 Kejiranan Mesra (KJM) N7 Samariang berlangsung dengan jayanya di Perkarangan Masjid Darul Muslimin, Kampung Sungai Bedil Besar pada Sabtu.
Program yang bermula seawal 7 pagi itu dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan memelihara kebersihan persekitaran demi membina komuniti yang sihat serta lestari.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N7 Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Turut hadir meluangkan masa menyantuni penduduk adalah Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman serta Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah.
Program ini turut mendapat sokongan padu pemimpin masyarakat setempat termasuk Penghulu Kampung Sungai Bedil, Ghani Abone; Ketua Kaum, Daud Majidi dan Timbalan Pengerusi KJM N7 Samariang, Salmah Ahar.

Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti dalam memupuk budaya bergotong-royong sebagai asas kepada kesejahteraan kejiranan.





