SEMPORNA – Pencemaran sampah sarap daripada sisa domestik botol plastik di perairan Pekan Semporna dilihat semakin serius dan membimbangkan sekali gus mencemarkan keindahan laut terbabit.
Seorang jurulatih selam skuba, Aquila Chu, meluahkan kekecewaannya menerusi Facebook dengan menyarankan pelancong agar terus ke pulau-pulau sekitar bagi mengelakkan pemandangan kawasan yang terjejas akibat sampah.
Chu yang juga ahli Kelab Sabah Diving Squad (DDC) berkata, ramai penduduk yang tinggal di perkampungan air dan di pulau-pulau tidak mempunyai akses kepada kemudahan pengumpulan sampah.
“Orang sering mengatakan mereka tidak berpendidikan mengenai pengurusan sisa dan itu sebahagiannya benar.
“Golongan tanpa dokumen pula tidak akan terlalu memikirkan soal alam sekitar apabila mendapatkan air minuman bersih sendiri sudah menjadi masalah.
“Namun isu utama sebenarnya ialah ketiadaan tempat untuk membuang sampah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah kelab DDC, Yong Lip Khiong berkata, perairan di sekitar ibu negeri Sabah juga berdepan masalah pencemaran sisa domestik yang sama dengan botol plastik menjadi antara sampah paling banyak ditemui.
“Sebahagian botol plastik ini malah telah menjadi ‘rumah’ kepada hidupan marin kerana plastik bukan sahaja mencemarkan laut, malah menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.
“Apabila laut tercemar, bukan sahaja hidupan marin, malah manusia turut menjadi mangsa pencemaran ini,” katanya.
Tegasnya, masalah sampah ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya tanggungjawab semua pihak.
“Kita boleh mulakan dengan mengurangkan penggunaan produk plastik, mengasingkan dan mengitar semula sisa dengan betul serta mengelakkan pembuangan sampah merata-rata.
” Jika semua pihak bekerjasama, laut akan menjadi lebih bersih dan generasi akan datang masih dapat menikmati keindahannya,” ujarnya.



