BENTONG – Seorang lelaki maut diseret sejauh kira-kira 10 meter selepas dirempuh ketika melintas jalan di Kilometer 13.5 Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang belum diketahui identiti berusia dalam lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang merempuh mangsa sedang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki dipercayai melintas secara tiba-tiba dari pembahagi jalan.
“Pemandu kereta gagal mengelak lalu melanggar dan menyeretnya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Zaiham berkata, hasil pemeriksaan pihak polis tidak menemui sebarang pengenalan diri bersama mangsa yang dipercayai warga tempatan itu.
“Ketika kejadian, mangsa memakai baju kurta berwarna ungu gelap dan berseluar jean hitam,” katanya.
Justeru katanya, pihak polis meminta waris yang ada kehilangan ahli keluarga agar tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk pengesahan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut masih dijalankan. Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan nahas itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Bentong di talian 09-222 2222 atau pegawai penyiasat, 011-61600964,” katanya.






