
KINABATANGAN – Kerjasama erat rakan dalam kerajaan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag baru-baru ini disifatkan sebagai petanda positif terhadap masa depan Kerajaan Perpaduan di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Mohd Ismail Ayob berkata, sokongan padu yang ditunjukkan jentera parti membuktikan wujudnya ikatan persahabatan yang kukuh antara Barisan Nasional (BN) dan rakan gabungan, sekali gus memberi keyakinan Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-18 kelak.
Menurutnya, bantuan semua pihak sepanjang kempen amat dihargai dalam memastikan BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag.
“Sudah pasti jentera kita sangat membantu dalam gerak kerja kempen PRK Kinabatangan dan DUN Lamag baru-baru ini.
“Saya amat menghargai bantuan dan sokongan semua pihak dalam memastikan kita dapat mengekalkan kerusi yang dimenangi Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Pada PRK Sabtu lalu, Mohd Ismail atau Miha berjaya mempertahankan kerusi BN bagi DUN Lamag dengan majoriti 5,681 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Sebelum ini, Miha pernah bertanding sebagai calon bebas tewas kepada Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin sebelum PRK DUN Lamag diadakan, susulan pemergian Bung pada 5 Disember 2025.
Sementara itu, calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar turut berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila memperoleh 19,852 undi, menewaskan dua calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon bebas, Goldam Hamid.
Miha berkata, persahabatan antara BN dan rakan kerajaan termasuk GRS memperlihatkan momentum yang amat baik, berbeza dengan situasi Pilihan Raya Negeri Sabah lalu apabila parti-parti terbabit bertanding secara berasingan sebelum bergabung membentuk kerajaan perpaduan.
Kerajaan negeri kini turut disokong Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta lima wakil rakyat bebas.
Miha dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag pada minggu hadapan selepas memenangi PRK pada 24 Januari lalu.





