PENGURUS Liverpool, Arne Slot menyalahkan ‘keletihan pemain’ sebagai punca pasukannya dibolosi gol pada minit ke-95 ketika tewas 2-3 kepada Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Juara bertahan itu masih belum menyamai prestasi musim lalu selepas tewas tujuh perlawanan liga setakat ini dan bergelut menembusi pertahanan lawan yang sebelum ini mudah mereka atasi ketika meraih kejuaraan musim 2024-25.
“Dalam lima, enam, tujuh, lapan, sembilan hingga 10 perlawanan terakhir, kami kebanyakannya terpaksa menggunakan pemain yang sama, pemain yang ada dan akhirnya ada antara mereka yang sedikit keletihan di hujung perlawanan,” kata Slot kepada Reuters selepas perlawanan itu.
“Saya rasa itu jelas kelihatan pada hujung perlawanan hari ini.”
Bournemouth mendahului 2-0 sebelum Liverpool menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-80 menerusi jaringan Dominik Szoboszlai, dengan baki perlawanan berlangsung terbuka dan penuh aksi berbalas serangan.
“Kedua-dua pasukan cuba menjaringkan gol. Mereka memiliki peluang lebih baik berbanding kami dalam 10 minit terakhir dan akhirnya ada lontaran jauh yang membawa kepada jaringan,” kata Slot sambil mengkritik pegawai perlawanan kerana tidak memberikan masa tambahan mencukupi.
“Namun akhirnya ia tidak memberi perbezaan kerana mereka menjaringkan gol. Walaupun mungkin kami boleh diberikan tambahan dua atau tiga minit lagi, perlawanan ini tidak sepatutnya hanya mempunyai empat minit masa tambahan.”
Pengurus Bournemouth, Andoni Iraola gembira dengan ketahanan pasukannya dan cara mereka bertindak balas selepas kebangkitan Liverpool.
“Ia satu kemenangan besar buat kami kerana kami berada dalam situasi sukar,” katanya kepada BBC.








