
KUALA KANGSAR – Seorang lelaki maut apabila ditemui rentung dalam sebuah van yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kampung Batu 40 Lempur, Manong, di sini pada Sabtu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.16 petang itu, dua lagi penumpang van berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, seramai 15 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Kemalangan jalan raya tersebut melibatkan sebuah van jenis Nissan Vanette yang dipandu lelaki berusia 32 tahun, sebuah lori satu tan, sebuah kereta Honda Civic serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish.
“Akibat perlanggaran itu, van terbabit terbakar dan seorang mangsa terperangkap di dalam kenderaan berkenaan, manakala dua penumpang lain iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Sementara itu, tiga mangsa lain yang cedera termasuk pemandu lori telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan susulan,” katanya.
Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Cik Burhan Abdul Hamid, tamat sepenuhnya pada jam 5.55 petang.



