
SIBU – Kedudukan serta hak Sarawak hanya mampu dipertahankan dengan berkesan sekiranya negeri itu terus diwakili pemimpin yang bersatu dan berani menyuarakan pendirian di Parlimen Persekutuan.
Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew berkata, wakil Sarawak di Dewan Rakyat dan Dewan Negara memikul tanggungjawab besar bagi memastikan kepentingan negeri tidak terus terhakis.
Menurutnya, perkara itu amat kritikal terutama yang melibatkan isu sensitif berkaitan tanah dan sumber asli milik Sarawak.
“Perkara ini bukan isu baharu sebaliknya telah termaktub sejak pembentukan Malaysia pada 1963. Ia perlu dipertahankan secara konsisten termasuk dalam menghadapi cabaran perundangan yang melibatkan Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Ibu Pejabat SUPP Sibu pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM106,000 geran MRP diserahkan kepada 106 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan.
Hui Yew menjelaskan, penyerahan geran tersebut merupakan usaha memperkukuh pentadbiran di peringkat akar umbi.

“Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menyokong pembangunan komuniti tempatan,” ujarnya lagi.







