
KINABATANGAN – Tema ‘Lamag Wajah Baharu’ yang menggariskan tujuh teras utama menjadi manifesto rasmi calon Barisan Nasional (BN) DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob (Miha).
Menurut Miha, tujuh teras berkenaan menumpukan keperluan asas rakyat, pembangunan belia, pendidikan dan hala tuju ekonomi jangka panjang.
“Antara manifesto itu termasuklah cadangan pembinaan Projek Perumahan Rakyat, penubuhan kolej atau institusi kemahiran dan mewujudkan sektor pelancongan, kraftangan, usahawan dan kebudayaan.
“Manifesto ini lebih kurang sama dengan Parlimen sebab masalah ini kita telah teliti bersama,” katanya kepada media pada pelancaran manifesto BN Lamag, baru-baru ini.
Tambahnya, manifesto itu juga member fokus kepada pemangkin pembangunan dengan kewujudan Bandar Baharu Milan selain menyedia insentif khas sebanyak RM1, 000 kepada pasangan baharu mendirikan rumah tangga dan pelajar yang melanjutkan pengajian.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Seramai 48,722 pengundi Parlimen Kinabatangan dan 13,899 DUN akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada 24 Januari ini.







