KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah dibina untuk menjadi parti yang sekadar pandai menjatuhkan, namun dibina bagi memerintah dengan akal, menstabilkan dengan strategi dan membina dengan tanggungjawab.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua ahli dan pemimpin UMNO agar membezakan antara perjuangan serta pemusnahan, antara strategi dan emosi serta antara keberanian dan kenaifan.
“Jadi saya menyeru ahli UMNO untuk mendukung peranan kami dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan yang membina. Idea yang bernas. Teguran yang munasabah.
“Insya-Allah, hikmah dari teguran yang baik dan bernas, akan kami terjemahkan menjadi natijah yang juga baik untuk bangsa Melayu dan tanah air kita Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Rabu.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani; Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Bendahari, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh serta Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua perwakilan mengenai risiko apabila perbezaan politik dibiarkan membarah tanpa kebijaksanaan, sehingga menyebabkan kerajaan runtuh.
Beliau berpandangan, pabila kerajaan runtuh tanpa pelan penggantian yang jelas, tegas beliau yang lahir bukanlah kebebasan, tetapi kekosongan kuasa atau ‘power vacuum’.
“Kita telah menyaksikan di beberapa negara, bagaimana pertelingkahan politik yang tidak terkawal telah melumpuhkan institusi negara.
“Parlimen menjadi medan tempur, kerajaan bertukar tanpa hala tuju, ekonomi terjunam, pelabur melarikan diri dan akhirnya, rakyatlah yang menanggung derita paling besar,” katanya.
Tambahnya, apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul dan apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.
“Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan dan apabila kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula.
“Kita semua mesti sedar bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan jawapan untuk UMNO pulih. Ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita. Ia hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek,” katanya.
Sementara itu, Mohamad menegaskan apa yang disampaikan beliau bukan bertujuan menimbulkan ketakutan, tetapi untuk mengingatkan semua betapa betapa rapuhnya nikmat keamanan.
“Segala kebanggaan kita hari ini – ketiadaan perang dan keganasan di Malaysia – boleh hilang dalam sekelip mata. Gone before we know it (hilang tanpa sempat kita sedari),” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan penyertaan UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah demi membina kestabilan, dengan gambaran diberi bahawa parti itu ibarat ‘sauh’ yang memastikan kapal negara tidak karam.
Jelasnya, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) UMNO sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi pembangkang dan sedia menerima hukuman rakyat dengan hati terbuka, namun takdir Allah dan tuntutan negara mengatasi kehendak parti.
“Ketika itu, negara sedang ‘tergantung’ disebabkan Parlimen tergantung, dengan politik di ambang huru-hara dan konomi rakyat mula terancam.
“Pada saat genting itulah, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bertitah meminta UMNO, walaupun kerusi kita tak banyak, untuk bantu tubuhkan kerajaan demi menyelamatkan negara.
“Kita masuk kabinet untuk bina kestabilan, saudara-saudari sekalian. Kita adalah ‘sauh’ yang memastikan kapal negara tidak karam. Itu jasa kita kepada rakyat dan kita tidak perlu minta maaf kerananya!” katanya.


