
KUCHING – Sarawak melangkah setapak lagi dalam agenda tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi kitaran apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa membentangkan Sustainable Resources and Wastes Management Bill, 2025 yang memperkenalkan rangka undang-undang menyeluruh bagi pengurusan sumber lestari dan sisa di seluruh negeri.
Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu menekankan keperluan Sarawak memanfaatkan potensi besar biojisim, termasuk sisa industri sawit, kayu, sago dan sisa pepejal, sebagai sumber tenaga baharu.
Menurutnya, walaupun Sarawak mempunyai sumber biojisim yang sangat besar, penggunaannya masih rendah akibat tarif feed-in yang tidak kompetitif, kos pelaburan tinggi dan kekangan logistik.
“Langkah baharu ini penting bagi memastikan negeri dapat memaksimumkan peluang ekonomi daripada sektor bioenergi.
“Rang undang-undang tersebut turut menubuhkan Sustainable Resources and Wastes Management Authority, sebuah badan khusus yang akan mengawal selia pengasingan, kutipan, rawatan, kitar semula dan pelupusan sisa secara menyeluruh,” jelas beliau.
“Autoriti baharu itu diberi kuasa luas, termasuk mengeluarkan arahan, meluluskan projek, menjalankan penyiasatan dan menguatkuasakan undang-undang melalui tindakan tangkapan, kompaun, rampasan serta pelupusan barangan yang menyalahi peraturan,” ujarnya.
Tambah beliau, Rang undang-undang tersebut juga memperkenalkan insentif dan ganjaran bagi menggalakkan pelaburan dalam pengurusan sumber lestari, sekali gus menyokong usaha Sarawak menjadi peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Beliau berkata demikian ketika semasa membentangkan bacaan kedua rang undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Antara ketetapan lain, individu atau pihak yang ingkar arahan atau notis daripada Autoriti boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Uggah menegaskan, langkah legislatif ini selari dengan dasar tenaga Sarawak dan aspirasi negeri untuk membangunkan ekonomi hijau yang lebih berdaya tahan.
“Dengan rang undang-undang ini, Sarawak kini mempunyai kerangka yang kukuh untuk mengurus sumber dan sisa secara berkesan, sambil memacu pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi kitaran,” katanya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





