
KOTA KINABALU – Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hari ini berjalan lancar dengan peratusan 92.5 peratus bersamaan dengan 17,615 orang keluar mengundi awal.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, proses pengundian bermula pada pukul 8 pagi melibatkan 58 pusat mengundi awal di seluruh Sabah, sebelum ditutup pada pukul 5 petang.
“Seramai 8,347 orang anggota tentera serta pasangan dan 10,696 orang anggota polis serta Polis PGA dan pasangan layak untuk mengundi awal dalam PRN17 ini.
“Sejumlah 92.5 peratus atau 17,615 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Justeru, Khairul merakamkan penghargaan kepada semua petugas pilihan raya atas tanggungjawab yang dijalankan dengan baik.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah; Polis Diraja Malaysia; Angkatan Tentera Malaysia; petugas media, serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.







