Trump cadang hukum mati Ahli Parlimen Demokrat ‘menghasut’

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesyorkan Ahli Parlimen Demokrat yang menggesa tentera menolak arahan tidak sah, dijatuhi hukuman mati dengan menuduh mereka sebagai pengkhianat dan penghasut.

Parti Demokrat segera mengecam ancaman Trump yang disifatkan sebagai ‘amat menjijikkan’ terhadap enam Senator dan wakil rakyat yang membuat kenyataan itu dalam sebuah video yang dimuat naik di X pada Selasa.

“Ini sangat buruk dan berbahaya kepada negara kita. Kata-kata mereka tidak boleh dibiarkan. Ia TINDAKAN MENGHASUT OLEH PENGKHIANAT!!! PENJARAKAN MEREKA???,” tulis Trump satu hantaran di platform sosial miliknya, Truth Social.

Dia dalam hantaran seterusnya menulis, ‘PERBUATAN MENGHASUT boleh dihukum MATI’.

Trump juga menyiarkan semula mesej seorang pengguna yang menggesanya untuk ‘menggantung mereka’ dan mendakwa Presiden AS pertama, George Washington, akan melakukan perkara sama.

Ahli Parlimen Demokrat terbabit terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang ketenteraan atau perkhidmatan perisikan, termasuk bekas anggota Tentera Laut dan angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Antaranya ialah Senator Mark Kelly, Senator Elissa Slotkin yang pernah berkhidmat dengan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) di Iraq.

“Anda boleh menolak arahan yang tidak sah,” kata mereka dalam video sambil menuduh Trump ‘menghasut anggota tentera beruniform serta pegawai pasukan perisikan untuk bertindak terhadap rakyat AS sendiri’.

Mereka tidak menyatakan arahan mana dimaksudkan, namun Trump sebelum ini mengerahkan Pengawal Kebangsaan ke beberapa bandar di AS dalam banyak kes, bertentangan dengan kehendak pegawai tempatan, atas alasan untuk mengawal rusuhan yang didakwa semakin berleluasa.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt menjelaskan semula kenyataan itu dengan berkata Presiden tidak berniat mahu melihat ahli Kongres dihukum mati.

Namun, dia tetap mengecam Ahli Parlimen itu dengan mempersoalkan mengapa mereka tidak membincangkan apa yang dilakukan ahli Kongres untuk menggalakkan dan menghasut keganasan.

Parti Demokrat pula bertindak balas dengan keras terhadap kenyataan Trump.

Ahli Parlimen dalam video berkenaan menegaskan mereka tidak gentar dengan ancaman Trump, sambil menyatakan mereka adalah ‘veteran dan profesional keselamatan yang cintakan negara’ serta mengangkat sumpah mempertahankan Perlembagaan AS.

Related Posts

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa ketua perisikan sementara yang baharu dilantik supaya memulakan tindakan memecat kakitangan. Perkara itu menambah kontroversi berhubung pelantikan individu tidak mempunyai pengalaman…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Israel rancang perluas 70 peratus wilayah Gaza, garisan kuning kian menghimpit

RANCANGAN Israel untuk meluaskan penguasaan ketenteraannya sehingga merangkumi 70 peratus wilayah Gaza mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan warga Palestin yang menyifatkan zon perlindungan sivik kini semakin mengecil dan tidak lagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PH Sabah belum putuskan penggunaan logo pilihan raya

PH Sabah belum putuskan penggunaan logo pilihan raya

Penunggang motosikal cedera dalam kemalangan kendiri di Jalan Poyan Jaya

Penunggang motosikal cedera dalam kemalangan kendiri di Jalan Poyan Jaya

Jangan terpengaruh anasir luar, isu Kampung Gayan Sibugal sudah selesai

Jangan terpengaruh anasir luar, isu Kampung Gayan Sibugal sudah selesai

PKR Sabah perkukuh struktur organisasi, siap sedia bantu jentera PRN Johor, Negeri Sembilan

PKR Sabah perkukuh struktur organisasi, siap sedia bantu jentera PRN Johor, Negeri Sembilan

Sabah sambut baik pandangan PM, pastikan rakyat tempatan nikmati pertumbuhan industri pelancongan

Sabah sambut baik pandangan PM, pastikan rakyat tempatan nikmati pertumbuhan industri pelancongan

Kemalangan 6 sekeluarga maut: Reman pemandu lori ditolak

Kemalangan 6 sekeluarga maut: Reman pemandu lori ditolak