Gambar hiasan
BANGKOK – Tujuh daerah di wilayah Songkhla, selatan Thailand, diisytiharkan sebagai zon bencana kecemasan selepas hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu.
Keadaan cuaca itu mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan hampir 18,000 isi rumah.
Menurut laporan Bangkok Post, daerah terlibat adalah Rattaphum, Muang Songkhla, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin, Sathing Phra dan Hat Yai.
Pihak berkuasa tempatan kini giat menjalankan operasi pemindahan dan bantuan kecemasan, termasuk penggunaan bot getah untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap.
Sementara itu, sebuah hospital di wilayah Pattani dilapor digenangi banjir akibat limpahan air sungai ke kawasan bandar.
Operasi perubatan terpaksa dihentikan sementara dan pesakit dipindahkan ke fasiliti kesihatan berhampiran.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand memaklumkan, banjir turut melanda lapan wilayah di selatan negara itu, termasuk Nakhon Si Thammarat, Surat Thani, Trang dan Phatthalung, menjejaskan lebih 124,000 isi rumah dan hampir 360,000 penduduk.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan hingga hujung minggu ini, dengan amaran tahap maksimum dikeluarkan di beberapa kawasan berisiko tinggi.

