PETAGAS – Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat Sabah agar memberi mandat kepada gabungan itu dan rakan sekutunya bagi membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perkara tersebut bagi memastikan lebih banyak pembangunan yang dijanjikan sebelum ini dapat ditunaikan.
Menurut beliau, sebahagian besar komitmen PH terhadap Sabah telah dibuktikan sepanjang tiga tahun mentadbir di peringkat Persekutuan, termasuk penyelesaian sembilan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), peningkatan pemberian wang interim, serta pelbagai projek pembangunan seperti sekolah untuk kesejahteraan rakyat di negeri itu.
“Ini bukan kita nak mendabik dada. Kita mahu maklumkan fakta sebab bila fasa pertama sudah siap (pembangunan sekolah dan projek lain), kita minta berilah peluang gandingan untuk fasa seterusnya.
“Ini bagi (bolehkan PH dan rakan sekutu) menunaikan semua yang lain kerana banyak lagi yang diperlukan oleh Sabah,” katanya pada Ceramah Kelompok Petagas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tengah Padang Petagas, pada Rabu.
Turut hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan calon PH dari PKR, Datuk Awang Husaini Sahari.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengharapkan pengundi supaya menilai rekod pencapaian berdasarkan fakta dan bukan sekadar persepsi yang berlegar di media sosial.
“Hanya orang Sabah yang boleh pilih corak masa hadapan mereka untuk lima tahun akan datang. Pada saya, perkara ini serius, melangkau apa sahaja kempen yang kita buat kerana akhirnya kita sendiri pilih.
“Mahu pilih masa hadapan yang bagaimana? Kalau (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim buat, mahu tawarkan (pembangunan), sudah tentu kita mahu penerusan. Tidak mahu reset balik kepada kosong,” katanya.
Hari pengundian bagi PRN17 Sabah ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.
Terdahulu, 10 penjuru itu menyaksikan Awang Husaini bukan sahaja bakal berentap menentang abangnya, Awang Ahmad Shah yang bertanding Bebas, malah beliau turut menghadapi saingan berasama bapa saudaranya, Datuk Uda Sulai yang mewakili Warisan.
Kerusi DUN Petagas turut ditandangi Aslin Samat (Parti Impian Sabah), Sabreezani Sabdin Ghani (Anak Negeri), Dr Mohd Afifi Shaiffuddin (PN-PAS), Lee Nyuk Soon @ Jason Lee (UPKO) dan Patrick @ Peter Manius (Bebas/IND), Adelaide Cornelius (KDM), dan Annita Shiela F.Among (STARSABAH)






