KOTA BHARU – Negeri Kelantan masih berdepan cabaran beberapa bandar uzur, termasuk Pasir Mas yang memerlukan penambahbaikan segera.
Rumusan itu dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) hasil dapatan kaji selidik dijalankan.
Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli berkata, walaupun pembangunan baharu rancak berjalan di negeri itu, realiti di lapangan menunjukkan masih terdapat bandar lama yang memerlukan perhatian.
“Pasir Mas satu ketika dahulu pusat tumpuan, meriah, hidup dan menjadi destinasi keluarga dari negeri jiran kerana berada di sempadan.
“Tetapi kini lesu dan memerlukan revitalisasi atau dihidupkan semula secara menyeluruh,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan, semalam.
Alias menambah, beberapa kawasan di bandar itu perlu dipulihkan, merangkumi aspek landskap, laluan pejalan kaki, jalan dan penyusunan semula aliran trafik serta taman awam.
Katanya, usaha revitalisasi bandar lama kini menjadi agenda penting pihaknya bagi memastikan berfungsi sebagai zon ekonomi, sosial dan pelancongan.
Jelasnya, pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjadi faktor kritikal dalam menghidupkan semula Pasir Mas.
“Dengan stesen utama ECRL di Tunjong dan cadangan landasan tambahan menuju ke Rantau Panjang, kami percaya limpahan ekonomi akan berlaku ke Pasir Mas secara langsung,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan diberikan pelan tindakan khas bagi memudahkan mereka memohon dana pembangunan daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.
“Kami sediakan pelan, dokumen, malah pelbagai skim pembiayaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti projek bandar selamat, bandar pintar dan pembinaan Taman Rekreasi MADANI bernilai RM500,000.
“Jadi, PBT perlu mohon peruntukan untuk disalurkan,” katanya.





