BEKAS penyerang utama Liverpool, Robbie Fowler mendakwa strategi pembelian pemain pada jendela perpindahan musim panas menjadi punca utama kejatuhan mendadak prestasi The Reds musim ini.
Liverpool, juara bertahan Liga Perdana Inggeris, dibelasah 3-0 Manchester City di Stadium Etihad hasil jaringan Erling Haaland, Nico Gonzalez dan Jeremy Doku, sekali gus mencatat kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan terakhir liga .
Musim panas lalu, Liverpool berbelanja besar – sekitar 446 juta pound (RM2.5 bilion) termasuk dua kali memecah rekod perpindahan Britain ketika menandatangani pemain tengah Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen dengan 116 juta pound (RM660 juta) serta penyerang Alexander Isak dari Newcastle yang bernilai 125 juta pound (RM712 juta).
Namun prestasi mereka merudum berbanding musim lalu.
Fowler yang menjaringkan 183 gol sepanjang kariernya bersama Liverpool berkata, kekalahan itu membuktikan skuad bimbingan Arne Slot kini sudah tercicir daripada saingan kejuaraan.
“Sebelum perlawanan, saya ditanya sama ada Liverpool sudah keluar daripada kemerosotan. Saya kata jangan cepat teruja.
“Mereka menang ke atas Aston Villa, tetapi hanya bermain baik selama 45 minit.
“Bagi saya, mereka sudah keluar daripada persaingan kejuaraan,” kata Fowler dalam program The Good, The Bad & The Football bersama Paul Scholes dan Nicky Butt.
Scholes turut mengakui sebelum ini masih percaya Liverpool mampu menjuarai liga, namun berubah fikiran selepas melihat cara mereka tewas di Etihad.
Fowler kemudian menyelar pendekatan perpindahan kelab itu yang menurutnya tidak sesuai dengan sistem Slot.
“(Jeremie) Frimpong contoh paling jelas. Dia dibeli untuk menggantikan (Trent) Alexander-Arnold, tetapi dia sebenarnya pemain sayap bertahan, bukan bek kanan tradisional.
“Begitu juga (Milos) Kerkez. Dia pemain kegemaran ramai musim lalu, tetapi bermain untuk Liverpool bukan sama seperti di Bournemouth atau Brentford – tekanannya jauh berbeza,” kata Scholes.






