MANCHESTER City didapati bersalah atas 114 daripada 115 pertuduhan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dihadapi mereka berhubung pelanggaran peraturan kewangan seperti dilaporkan the Athletic, lewat malam tadi.
Laporan itu menambah bahawa tiada hukuman diputuskan setakat ini dan City sedia untuk mengemukakan rayuan.
Keputusan pendengaran bebas yang bermula lebih dua tahun lalu itu berpotensi memberi kejutan besar kepada arena bola sepak Inggeris.
Warisan era gemilang City yang sarat dengan trofi kini menjadi pertaruhan susulan dakwaan ia dibina di atas ketidakjujuran kewangan.
City dituduh oleh EPL pada tahun 2023 selepas siasatan terhadap dakwaan pelanggaran yang berlaku antara tahun 2009 hingga 2018.
Kelab berkenaan yang sentiasa menafikan dakwaan terbabit, dituduh gagal menyediakan maklumat kewangan tepat serta butiran pembayaran kepada pemain dan jurulatih, selain melanggar peraturan kelestarian kewangan.
Di bawah pemilikan Sheikh Mansour, yang menerusi Abu Dhabi United Group mengambil alih kelab terbabit pada 2008, City berjaya menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Inggeris.
Mereka memenangi lapan gelaran EPL, empat Piala FA, tujuh Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara dalam tempoh 15 tahun terakhir.
Punca syak wasangka ini bermula daripada dokumen bocor yang diterbitkan oleh media Jerman, Der Spiegel, pada tahun 2018.
Emel yang didakwa dihantar antara eksekutif tertinggi City menunjukkan kelab itu membesar-besarkan hasil tajaan daripada syarikat penerbangan milik kerajaan Abu Dhabi, Etihad serta syarikat telekomunikasi, Etisalat dengan menyelindungkan pelaburan terus dari Abu Dhabi United Group milik Mansour sebagai pendapatan.
Dokumen lain mendakwa wujudnya pembayaran luar buku kepada pengurus ketika itu, Roberto Mancini menerusi yuran perundingan daripada sebuah kelab di Abu Dhabi.
Sekiranya City didapati bersalah, hukuman dijangka merangkumi pemotongan mata yang berat dan berkemungkinan disingkirkan terus dari EPL.
Everton dan Nottingham Forest pernah dikenakan hukuman pemotongan mata pada musim 2023/24 atas pelanggaran tunggal peraturan keuntungan dan kelestarian.
Hukuman berat sedemikian juga akan menimbulkan persoalan mengenai masa depan barisan pemain bintang City termasuk penyerang berbakat, Erling Haaland.
Kelab-kelab lain juga boleh membuat tuntutan agar gelaran juara ditarik balik dan memohon pampasan sekiranya City memperoleh kelebihan tidak adil menerusi cara yang tidak sah.





