
KERAJAAN hanya akan menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas kesalahan jenayah sekiranya diminta secara rasmi oleh individu terbabit, dan bukan secara automatik, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menjelaskan bahawa bantuan tersebut merangkumi urusan konsular seperti memaklumkan keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman serta memenuhi keperluan asas tahanan, namun semua tindakan itu hanya dilaksanakan atas permintaan rasmi daripada individu yang ditahan.
Menurut Mohamad, setiap langkah bantuan juga perlu mematuhi peraturan negara berkenaan serta prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular yang menetapkan tanggungjawab sesebuah negara dalam melindungi rakyatnya di luar negara.
“Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan kepada pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka.
Bagaimanapun, ada juga kita (pejabat kedutaan) tidak tahu rakyat kita ditahan kerana ada negara yang menghormati hak asasi individu yang tidak mahu memaklumkan kepada kedutaan, sehinggalah mereka meminta untuk maklumkan kepada kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH–Kluang) mengenai bantuan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dari segi sokongan kemanusiaan dan hak asasi bagi rakyat Malaysia yang ditahan, serta sama ada kerajaan mempunyai peruntukan kewangan khusus bagi menjamin hak individu terbabit.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerajaan tidak menyediakan peruntukan khas bagi melantik peguam untuk tahanan, sebaliknya tanggungjawab itu diserahkan kepada keluarga individu berkenaan, kecuali di negara yang menyediakan khidmat guaman percuma kepada warganegara asing.
Beliau memaklumkan bahawa setakat 8 November lalu, seramai 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian, dengan China mencatat jumlah tertinggi penahanan warganegara, iaitu 545 orang.
Negara lain yang turut merekodkan penahanan rakyat Malaysia termasuk Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10), selain sebilangan kecil di beberapa negara lain.
Bagi pecahan mengikut kaum, katanya, seramai 765 orang terdiri daripada kaum Cina, diikuti Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain.




