
KUALA LUMPUR – Pendedahan dan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak sewajarnya dieksplotasi sebagai modal politik sehingga menimbulkan kekeliruan, perpecahan dan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap pemegang amanah umat Islam di Malaysia.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata, pihaknya mengiktiraf proses pemulihan yang telah berjaya dilaksanakan oleh kerajaan sebagai tekad politik untuk memastikan Tabung Haji menjadi institusi berwibawa dan berintegriti.
Menurut beliau, agensi itu perlu dipastikan agar tiada lagi campur tangan politik dalam pentadbiran Tabung Haji demi mengembalikan keyakinan pendeposit serta menjamin masa depan institusi kewangan umat Islam itu.
“Apa yang utamanya adalah untuk menghilangkan campur tangan politik. Ini semua asalnya adalah nadi umat Islam untuk kebaikan umat secara keseluruhan. Jadi kita harap akan datang tidak ada campur tangan politik dan juga dapat ditadbir oleh orang-orang yang bertauliah dan juga yang mampu untuk menggerakkan Tabung Haji dengan lebih baik.
“Siapa yang sebelum ini telah melakukan kesalahan, sama ada dia masih di dalam Tabung Haji ataupun dia sudah di luar, perlu dibawa ke muka pengadilan. Jadi ini dapat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan dan juga kerajaan sekarang untuk melaksanakan amanah tersebut supaya perkara ini tidak berulang.
“Pada masa sama, Tabung Haji dapat meningkatkan balik kepercayaannya. Itu penting, untuk kita sentiasa percaya kepada Tabung Haji bahawasanya masa depannya cerah dan kita boleh gerakkan, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) selepas Himpunan Aman Solidariti RCI Tabung Haji di Bangunan TH, pada Jumaat.
Pada himpunan tersebut, sekretariat himpunan yang dikelolai oleh Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) turut menghantar memorandum oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada ABIM, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).
Dalam pada itu, Daie MADANI turut menghantar memorandum sokongan kepada wakil Pengerusi Tabung Haji, Sobree Zainal Abidin.

Sementara itu, Ahmad Fawwaz mengakui walaupun pihaknya telah lama mendesak agar didedahkan lebih awal namun fokus ketika ini bukan lagi kepada soal tempoh pendedahan, sebaliknya masyarakat perlu meneliti fakta serta dapatan yang terkandung dalam laporan RCI tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak, khususnya umat Islam, bersama-sama menjadikan dapatan RCI sebagai asas untuk memperkukuh tadbir urus Tabung Haji demi memastikan institusi itu menjadi lebih telus, bersih dan diyakini pada masa hadapan.
“Kami memang daripada awal lagi, kalau boleh tengok ABIM, kita telah membuat kenyataan ini sejak 2015 lagi tentang isu Tabung Haji dan kita maklum dia telah buat 2021. Sebagai badan masyarakat sivil ini, kita amat hargai ialah dia telah keluar. Sudah lama kita meminta, tetapi dia telah keluar. Walaupun lewat, tetapi yang penting dia telah keluar.
“Sekarang ini kita perlu lihat faktanya dan juga perkara-perkara yang kita perlu perhati dalam itu. Jadi saya mengajak diri saya dan kawan-kawan di luar sana untuk kita, ini isu kita bersama lah untuk umat Islam agar kita dapat memperbaikinya dan kita dapat melihat dia lebih bersih pada masa akan datang,” katanya.





