KUALA LUMPUR – Berapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam menuntut siasatan terhadap dapatan salah guna kuasa, penyelewangan atau pelanggaran tatakelola menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) diselesaikan segera.
Setiausaha Agung Majlis Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata, tindakan tersebut mestilah berasaskan bukti, proses undang-undang yang adil dan prinsip bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.
Beliau menegaskan, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan hendaklah dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan, pengaruh politik, jawatan atau hubungan dengan mana-mana pihak.
“Tindakan terhadap pesalah tidak seharusnya terhenti pada pendakwaan jenayah semata-mata. Kerajaan dan Tabung Haji hendaklah mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya untuk mendapatkan kembali wang, aset, keuntungan, bonus, elaun atau apa-apa manfaat yang diperoleh.
“Ia perlu melalui keputusan yang menyalahi undang-undang, melanggar amanah atau
merugikan Tabung Haji. Mekanisme pemulihan aset dan tuntutan ganti rugi hendaklah dilaksanakan secara profesional agar kerugian institusi serta pendeposit dapat
diminimumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) selepas menghantar memorandum sempena Himpunan Aman Solidariti RCI Tabung Haji di Bangunan TH, pada Jumaat.
Pada himpunan tersebut, sekretariat himpunan yang dikelolai oleh Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) turut menghantar memorandum oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada ABIM, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).
Mengulas lanjut, Ahmad Fawwaz berkata, pihaknya menyeru parti politik, pemimpin, pempengaruh dan organisasi masyarakat agar tidak menjadikan isu RCI dan Tabung Haji sebagai bahan.propaganda atau persaingan politik kepartian, selain tidak membuat tuduhan terbuka tanpa bukti yang kukuh daripada pihak berwajib.
Menurut beliau, seruan itu tidak boleh digunakan untuk menyekat kritikan yang berasas, penelitian awam atau tuntutan terhadap akauntabiliti agar Tabung Haji dapat dipelihara sebagai institusi umat Islam yang tidak berada di atas kepentingan mana-mana parti dan kelompok politik.
“HIKAM dan gabungan NGO Islam merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen terhadap ketelusan, pendedahan fakta, pengukuhan integriti serta perlindungan kepentingan pendeposit Tabung Haji. Kami menuntut supaya usaha reformasi ini diteruskan secara konsisten.
“Ini termasuk melalui sistem semak dan imbang yang berkesan, audit bebas, pengawasan Parlimen serta pemantauan berkala terhadap kedudukan kewangan, pelaburan dan operasi Tabung Haji. Sokongan terhadap kerajaan dalam perkara baik tidak boleh menghapuskan tanggungjawab masyarakat sivil untuk terus menegur, memantau dan mengemukakan cadangan penambahbaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fawwaz menyeru kepada kerajaan melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji 1995 dan segala peraturan, garis panduan serta instrumen perundangan yang berkaitan.
“Semakan tersebut perlu wujudnya peruntukan yang lebih jelas berhubung kuasa dan tanggungjawab lembaga pengarah serta pengurusan tertinggi; proses pelantikan dan penamatan anggota lembaga; kawalan terhadap pelaburan berisiko tinggi; pengurusan konflik kepentingan; dan kewajipan pendedahan maklumat.
“Selain itu, perlu ada audit, pematuhan Syariah dan pengurusan risiko; liabiliti terhadap kecuaian atau pelanggaran amanah; dan perlindungan kepentingan pendeposit selain wujudkan peraturan khusus untuk melindungi institusi kewangan itu daripada campur tangan politik dan keputusan yang dibuat bagi
kepentingan jangka pendek.
“Tabung Haji hendak terus memperkukuh fungsi. Saluran pemberi maklumat mestilah benar melindungi identiti serta kedudukan individu yang melaporkan salah laku dengan niat baik selain Jawatankuasa audit, risiko dan pelaburan perlu mempunyai kuasa, kepakaran serta kebebasan mencukupi untuk menolak keputusan bertentangan dengan kepentingan Tabung Haji,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fawwaz menyeru barisan kepimpinan dan pengurusan Tabung Haji semasa agar meneruskan tugas dengan penuh amanah, berwibawa di samping segala keputusan hendaklah mengutamakan keselamatan simpanan pendeposit, kemampanan kewangan, pematuhan Syariah, kecemerlangan pengurusan haji serta kepentingan jangka panjang umat Islam.
Jelasnya, kepimpinan Tabung Haji juga hendaklah lebih proaktif dalam memberikan
penerangan kepada masyarakat bagi menangani fitnah, maklumat palsu dan kekeliruan yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit selain prestasi kewangan yang baik kini serta pelan pemulihan semasa perlu diteruskan tanpa mengabaikan prinsip berhati-hati
“Prinsip keadilan hendaklah menjadi asas dalam semua tindakan susulan terhadap laporan RCI. Keadilan bermaksud pesalah dihukum, pihak yang tidak bersalah tidak difitnah, kerugian dipulihkan, kelemahan sistem diperbaiki dan hak pendeposit dilindungi.
“Kerajaan juga hendaklah mengiktiraf Tabung Haji sebagai institusi strategik umat Islam yang perlu dipertahankan daripada penyelewengan, kepentingan politik, monopoli kelompok tertentu serta keputusan pelaburan yang tidak
bertanggungjawab.
“Sebarang reformasi besar terhadap struktur, undang-undang atau mandat Tabung Haji hendaklah melibatkan rundingan dengan ulama, pakar Syariah, ahli ekonomi, pakar kewangan Islam, pendeposit dan pertubuhan masyarakat Islam,” katanya.






