
MALAYSIA mengambil setiap peluang ketika mengadakan mesyuarat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk secara konsisten mendesak penyelesaian menyeluruh terhadap isu Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap pertemuannya dengan pemimpin dunia itu, sama ada secara rasmi mahupun peribadi, dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyuarakan isu Gaza.
Beliau berkata, Malaysia kekal konsisten mendesak penyelesaian menyeluruh terhadap konflik Gaza dan bukan sekadar gencatan senjata, dengan penekanan terhadap pengiktirafan hak serta kedaulatan rakyat Palestin.
“Antara perkara pokok (perbincangan dengan Trump) adalah soal Gaza. Saya beritahu Presiden, saya jumpa pemimpin Hamas dan dia agak sedikit terkejut dan tanya kenapa.
“Saya jelaskan dan tak pernah guna istilah ‘20 point ceasefire’’ (20 Perkara Pelan Damai Trump), tapi saya sebut ‘comprehensive settlement’.
“Ini kerana istilah ini yang disepakati, tak selesai hanya dengan hentikan serangan tanpa iktiraf hak mutlak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) yang meminta penjelasan mengenai manfaat diperoleh hasil pertemuan dengan Trump, termasuk dalam isu kemanusiaan di Gaza dan bidang strategik lain yang berkepentingan bersama Malaysia–AS.
Perdana Menteri turut mengakui bahawa dunia tidak boleh bergantung kepada gencatan senjata di Gaza sebagai penyelesaian muktamad, memandangkan keadaan itu bersifat rapuh dan mudah tercetus semula.
“Seperti mana kita tahu sama ada suka atau tak, peranan AS itu jadi faktor penentu gencatan senjata dan pemberhentian serangan.
“Jadi peranan kita selain usaha lain seperti bantuan kemanusiaan, perubatan dan lain-lain, perlu ada kesediaan untuk bersama dalam pasukan ketenteraan damai. Ini sudah saya maklum kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan kepada ASEAN dalam mesyuarat di sini, baru-baru ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH–Ledang) mengenai usaha seterusnya untuk memastikan penyelesaian komprehensif dalam menamatkan perang Gaza.
Menurut Anwar, langkah lain yang mesti diteruskan ialah dengan menyampaikan mesej secara langsung kepada pemimpin dunia, khususnya kuasa besar seperti AS, mengenai pelan penyelesaian komprehensif bagi Gaza.
“(Nak kata) kecam, dah kecam, marah pun sudah, kita juga sudah beritahu tak setuju dengan AS dan negara Eropah kerana hipokrasi mereka.
“Jadi bila ada peluang, sampaikanlah. Misalnya bila saya sampaikan kepada Trump mengenai penyelesaian komprehensif ini, presiden sebut dan kemudian tegaskan dalam perjumpaan: ‘saya akan pastikan bahawa pelan damai dan gencatan senjata ini berhasil, saya akan pastikan begitu’.
“Jadi, setakat ini, (saya lihat) itu permulaan yang baik,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Malaysia telah berusaha menggunakan pelbagai saluran diplomatik dengan pemimpin antarabangsa bagi mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
“Kalau nak minta bantuan menyelesaikan masalah Gaza, saya tak tahu siapa lagi dah.
“Kita bercakap dengan (Presiden Perancis, Emmanuel) Macron, kita bercakap dengan (Perdana Menteri Itali, Giorgia) Meloni, kita bercakap dengan Canselor German (Olaf Schulz), habis sudah ikhtiar,” katanya.




