PUTRAJAYA – Tindakan menghina Gen Z sebagai calon pilihan raya membuktikan UMNO sendiri mensabotaj misi parti dalam memikat pengundi muda, sekaligus mendedahkan percanggahan antara hasrat meremajakan politik dengan budaya menyerang pesaing.
Pemerhati politik, Muhammad Safuan Solihin berkata, UMNO perlu sedar bahawa Gen Z bukan lagi kelompok pengundi yang boleh dipancing dengan slogan politik, namun berpotensi menjadi pemimpin, penggubal dasar dan pembuat keputusan negara pada masa depan.
Menurut beliau, tindakan melabel calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin dengan gelaran seperti “budak Rohingya”, “Mat Rempit” dan “budak tak tahu apa” hanya kerana perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi budaya dalam persaingan demokrasi.
“Isunya bukan sama ada Mukhlis mampu menjadi wakil rakyat yang baik atau tidak tetapi mengapa seorang calon muda perlu diserang menggunakan gelaran yang merendahkan maruahnya sebelum pengundi sendiri berpeluang menilai kemampuan, pemikiran dan tawaran politiknya.
“Mukhlis ada pencapaian tersendiri, termasuk latar pendidikan undang-undang serta kejayaan dalam pertandingan pidato. Itu bukan bukti beliau automatik layak jadi wakil rakyat cemerlang, tetapi cukup menunjukkan bahawa beliau mempunyai asas yang wajar dinilai secara profesional, bukan dihukum berdasarkan usia atau rupa paras,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO tidak boleh terus mengharapkan generasi muda menyokong parti itu jika terdapat tindakan dalam kalangan ahlinya yang memberikan gambaran bahawa anak muda belum cukup layak untuk dihormati sebagai pesaing politik.
“Jika setiap kali anak muda diketengahkan, mereka dipandang rendah kerana belum mempunyai pengalaman seperti pemimpin lama, bilakah generasi baharu akan diberikan peluang untuk membina pengalaman itu?
“Pengalaman kepimpinan tidak turun dari langit. Ia dibina melalui peluang, tanggungjawab, kesilapan dan pembelajaran. Pemimpin veteran juga pernah bermula sebagai orang baharu dalam politik,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Safuan berkata, UMNO sepatutnya mencabar keupayaan dan tawaran politik Mukhlis, bukannya menggunakan gelaran yang merendahkan maruah calon muda sebelum pengundi di kawasan DUN Kuala Linggi menilai kebolehannya.
Menurut beliau, UMNO perlu berhenti melihat Gen Z semata-mata sebagai kelompok pengundi yang perlu didekati ketika pilihan raya, susulan generasi itu juga berhak diberikan ruang untuk muncul sebagai pemimpin dan pembuat keputusan negara.
“Sikap UMNO ini seolah-olah mereka tidak bersedia berkongsi ruang kepimpinan dengan generasi baharu, Gen Z atau masih selesa dengan politik yang berpusat pada hierarki, senioriti dan pengaruh pemimpin lama.
“Jika anak muda hanya diraikan ketika diperlukan untuk menggerakkan jentera pilihan raya, tetapi dipandang rendah apabila mereka muncul sebagai pesaing atau membawa pendekatan berbeza, maka usaha meremajakan parti itu akan sukar dipercayai
“Jika UMNO gagal memahami perubahan ini, parti itu berisiko bukan sahaja ketinggalan dalam persaingan mendapatkan undi anak muda, malah gagal menyediakan laluan kepimpinan meyakinkan untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Safuan berpendapat, UMNO perlu membezakan ketegasan dalam berpolitik dengan serangan peribadi kerana parti yang yakin terhadap kekuatan calonnya tidak perlu menjatuhkan maruah pesaing untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.
Katanya, pengundi Kuala Linggi berhak menilai Mukhlis berdasarkan kemampuan, integriti, tawaran pembangunan dan kesungguhannya berkhidmat kepada masyarakat, bukannya terpengaruh dengan gelaran yang dilemparkan dalam pertarungan politik.
“Pilihan raya bukan pertandingan menentukan siapa paling lantang menghina lawan. Ia ialah pertandingan untuk meyakinkan rakyat bahawa seseorang calon layak diberikan amanah.
“Jika UMNO mahu terus relevan dalam politik Malaysia, parti itu perlu menerima hakikat bahawa masa depan negara bukan hak eksklusif pemimpin lama. Gen Z juga berhak berada di gelanggang, membuktikan kemampuan dan dinilai berdasarkan prestasi mereka sendiri,” katanya.
