
LANGKAH Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon termuda, Mukhlis Mubin, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi mencerminkan komitmen positif gabungan itu dalam mengetengahkan wawasan kepimpinan segar dan berorientasikan masa hadapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Profesor Kehormat (Sains Politik) Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid menyifatkan penampilan graduan undang-undang berusia 23 tahun itu sebagai langkah strategik PH untuk meraih sokongan pengundi muda serta golongan rasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, di tengah-tengah landskap politik yang disifatkan sebagai ‘fasa transit’, keputusan PH mempercayai kebolehan calon Gen Z seperti Mukhlis memberi isyarat jelas bahawa parti itu bersedia menawarkan pembaharuan yang relevan dengan aspirasi pengundi masa kini.
“Pencalonan Mukhlis Mubin di DUN Kuala Linggi menunjukkan PH komited memberi ruang nyata kepada anak muda berpendidikan untuk berkhidmat. Ini memberikan tenaga baharu dan kelebihan dari segi daya tarik pengundi di kawasan berkenaan.
“Langkah ini meletakkan PH pada kedudukan yang amat menguntungkan kerana mereka bukan sahaja membawa rekod pentadbiran cemerlang, malah mempamerkan keberanian mempertaruhkan bakat muda yang berkaliber,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.

Menurut Ahmad Fauzi lagi, tindakan PH ini kontras dengan ketidaktentuan gabungan lain yang terperangkap dalam percaturan pengagihan kerusi dan kecenderungan ke arah politik kanan.
“Di negeri seperti Melaka yang berdemografi seimbang, pengundi bandar dan generasi muda yang fikir secara rasional mahukan politik yang menyeluruh serta progresif.
“Dengan meletakkan calon muda berwawasan seperti Mukhlis di DUN Kuala Linggi dan mengekalkan teras majmuk, PH berada dalam posisi terbaik untuk menambat hati pengundi Melayu rasional serta memastikan undi solid daripada masyarakat bukan Melayu,” katanya.
