CALON muda yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin perlu diberi ruang untuk membuktikan kemampuan dan mengembangkan potensi kepimpinan, bukannya menjadi sasaran serangan peribadi.
Pemerhati politik, Norman Daud berkata, kecenderungan melabel calon muda dengan gelaran negatif boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap mereka, sedangkan golongan itu juga berhak diberikan peluang untuk membina pengalaman dalam politik.
“Kenapa apabila anak muda diketengahkan sebagai calon, kita mesti mahu membunuh karakter mereka?” katanya ketika mengulas penyertaan calon muda pada PRN Melaka.
Norman berkata, pengalaman dan kematangan dalam kepimpinan tidak terbentuk dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan peluang, bimbingan serta ruang untuk seseorang membuktikan keupayaannya.
Katanya, anak muda mungkin belum mempunyai pengalaman seluas pemimpin terdahulu, namun mereka perlu diberikan peluang untuk belajar, membina pengalaman dan mengasah kebolehan melalui proses politik.
Beliau berkata, penilaian terhadap calon seharusnya dibuat berdasarkan kemampuan, idea serta kesungguhan mereka menawarkan khidmat kepada rakyat, bukannya semata-mata berdasarkan usia atau persepsi yang dibentuk melalui serangan politik.
“Anak muda juga perlu diberi peluang untuk belajar, membina pengalaman dan mengasah kepimpinan melalui proses politik. Mereka mungkin belum mempunyai pengalaman sepanjang generasi terdahulu, tetapi mereka perlu diberi ruang untuk membina pengalaman itu,” katanya.
Norman berkata, penyertaan generasi muda dalam pilihan raya penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negara, selain membuka ruang kepada kemunculan pemimpin baharu yang mampu memahami keperluan dan aspirasi masyarakat.
“Masa depan negara ini bukan hanya milik generasi hari ini. Anak muda inilah yang akan mewarisi tanggungjawab memimpin dan mencorak masa depan Malaysia.
“Berilah mereka peluang untuk membuktikan kemampuan, dan biarlah rakyat menilai mereka berdasarkan apa yang mereka mampu lakukan,” katanya.
Mukhlis Mubin, yang nama sebenar beliau ialah Mohammad Mukhlisul Mubin, merupakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada PRN Melaka kali ini.
Beliau ialah graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pernah muncul sebagai johan Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala Perdana Menteri dan aktif dalam gerakan pelajar ketika menuntut di universiti berkenaan.




